Lindungi premis haram, 6 penguat kuasa PBT didakwa esok

Lindungi premis haram, 6 penguat kuasa PBT didakwa esok

Semua suspek termasuk seorang timbalan pengarah akan didakwa di Mahkamah Shah Alam dan Mahkamah Kuala Lumpur atas tuduhan meminta dan menerima rasuah.

sprm
SPRM pada Julai lalu menahan reman tujuh penguat kuasa pihak berkuasa tempatan kerana disyaki menerima rasuah bulanan daripada premis urut dan pelacuran di ibu kota. (Gambar SPRM)
PETALING JAYA:
Seorang timbalan pengarah dan lima penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) akan didakwa di mahkamah esok kerana disyaki menerima rasuah bagi melindungi premis pelacuran dan perniagaan yang menggunakan lesen Ali Baba.

Sumber berkata, pegawai kanan berkenaan bersama seorang pegawai bawahannya akan didakwa di Mahkamah Shah Alam atas tiga pertuduhan meminta dan menerima wang rasuah daripada premis pelacuran di ibu negara.

Katanya, empat lagi penguat kuasa PBT yang sama pula akan didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur masing-masing atas satu pertuduhan menerima rasuah bagi melindungi premis perniagaan yang beroperasi menggunakan lesen Ali Baba di ibu negara.

“Pegawai kanan PBT berkenaan akan didakwa atas tiga pertuduhan kerana meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM130,000, manakala seorang pegawai bawahannya akan dituduh atas satu pertuduhan meminta wang rasuah daripada premis pelacuran.

“Sementara empat penguat kuasa terbabit pula didakwa kerana menerima wang rasuah antara RM200 hingga RM800 daripada premis yang menggunakan lesen Ali Baba bagi melindungi mereka daripada dikenakan tindakan penguatkuasaan,” katanya.

Pada awal Jun lalu, media melaporkan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur, menahan tiga penjawat awam termasuk seorang timbalan pengarah dalam satu operasi khas kerana dipercayai menerima rasuah secara bulanan daripada premis urut dan pelacuran di ibu kota.

Pada Julai lalu, media turut melaporkan SPRM Kuala Lumpur menahan lapan penguat kuasa PBT kerana dipercayai menerima rasuah daripada premis perniagaan yang beroperasi tanpa lesen yang sah serta menggunakan lesen Ali Baba.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.