
Katanya, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Puad Zarkashi dan Ketua Pemuda Dr Akmal Saleh seharusnya menghormati keputusan itu yang menunjukkan kebebasan institusi kehakiman.
“Puad dan Akmal harus menghormati kebebasan kehakiman dan keputusan mahkamah, bukan terus menyeru kerajaan melanggar perintah mahkamah, dan cuba untuk kembali kepada pemikiran kerajaan autoritarian.
“Kita harus meninggalkan cara pemikiran lama yang penuh dengan perpecahan dan ketakutan, dan memandang sejarah dari sudut lebih terbuka dan rasional,” katanya dalam kenyataan.
Kok berkata, apabila KDN menghormati dan melaksanakan keputusan mahkamah, ia secara tidak langsung mempertahankan hak asasi rakyat terutama kebebasan bersuara dan penerbitan.
Beliau berkata, sebaliknya kenyataan Puad dan Akmal menunjukkan mereka tidak menghormati keputusan mahkamah dan menyekat kebebasan bersuara.
“Mahkamah telah mengeluarkan penghakiman penuh yang jelas menyatakan bahawa buku tersebut tidak mengandungi kandungan hasutan seperti didakwa dalam akuan bersumpah menteri dalam negeri.
“Semua pihak perlu melupakan prejudis lalu dan terus melihat ke hadapan. Buat masa ini, misi utama adalah berkenaan kepentingan rakyat, serta memberi tumpuan kepada pemulihan ekonomi,” katanya.
Pada Julai 2022, Mahkamah Rayuan memutuskan komik itu tidak sepatutnya diklasifikasikan sebagai buku terlarang, manakala pada Disember 2022 Mahkamah Persekutuan menolak permohonan rayuan Kementerian Dalam Negeri dan mengarahkan penulisnya, Hew Kuan Yau memohon pampasan daripada kerajaan.
“Keputusan ini mencerminkan pendirian tegas badan kehakiman negara terhadap kebebasan bersuara dan penerbitan,” kata Kok.
Semalam, media melaporkan KDN membatalkan perintah larangan dikenakan ke atas komik karya bekas ahli DAP itu.
Menurut warta kerajaan persekutuan bertarikh 12 Ogos, pembatalan itu ditandatangani Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail pada 6 Ogos mengikut Subseksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Susulan itu, Puad menggesa Umno membantah keras penerbitan komik itu yang didakwa jelas mengagungkan bekas pemimpin Parti Komunis Malaya Chin Peng.
Akmal turut menggesa kerajaan mempertimbangkan untuk memfailkan permohonan menyemak semula keputusan pembatalan perintah larangan penerbitan itu.