Belum muktamad, Amanah Kluang bidas BN umum tanding Mahkota

Belum muktamad, Amanah Kluang bidas BN umum tanding Mahkota

Ketuanya Mohd Zuhan Mohd Zain gesa pimpinan BN-PH bincang segera bagi memuktamadkan isu berkaitan kerusi Mahkota.

Mohd Zuhan Mohd Zain
Ketua Amanah Kluang Mohd Zuhan Mohd Zain berkata setakat ini belum ada keputusan berhubung parti akan bertanding mewakili kerajaan perpaduan di DUN Mahkota. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Amanah Kluang mendedahkan masih belum ada sebarang keputusan muktamad berhubung parti yang akan bertanding mewakili parti gabungan kerajaan perpaduan pada PRK DUN Mahkota, September depan.

“Bincang pun belum, macam mana sudah ada keputusan,” kata Ketuanya Mohd Zuhan Mohd Zain susulan pengumuman Pengerusi Barisan Nasional (BN) Zahid Hamidi yang calon parti itu akan bertanding kerusi terbabit mewakili kerajaan perpaduan.

Zuhan juga berkata, pihaknya tidak menuntut kerusi BN seperti didakwa Zahid kerana kerajaan Johor pada masa ini tidak dibina sebagai kerajaan perpaduan.

“Kami hanya berkawan dan duduk secara harmoni di dalam rumah yang berlainan. Beliau seharusnya segera menasihatkan Menteri Besar Johor merangkap Ketua Umno Johor, Onn Hafiz Ghazi  mengumpulkan pucuk pimpinan Pakatan Harapan dan BN untuk berbincang isu ini segera.

“Duduk berbincang dan bukan melatah. Buat apa melatah, kami pemimpin kecil dari kawasan sahaja,” katanya.

Semalam, Zahid memberi amaran kepada pemimpin komponen kerajaan perpaduan tidak menuntut kerusi diperuntukkan kepada sesuatu parti, dengan menekankan BN akan bertanding PRK DUN Mahkota 28 Sept ini.

Ia selepas Amanah Kluang dilaporkan mendesak kepimpinan PH dan BN memberikan laluan kepada calonnya bertanding PRK Mahkota yang pernah dimenangi parti itu pada PRU14.

Susulan desakan itu, Presiden Amanah Mohamad Sabu menegur ahli partinya kerana menggunakan media untuk melobi kerusi terbabit, sebaliknya memberi tumpuan terhadap kempen PRK Nenggiri pada 17 Ogos yang ditandingi BN untuk merebut semula kerusi berkenaan daripada Bersatu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon dan pengundian awal PRK DUN Mahkota masing-masing pada 14 dan 24 Sept.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Sharifah Azizah Syed Zain pada 2 Ogos.

Pada PRN Johor Mac 2022, Sharifah Azizah yang juga calon BN memenangi kerusi itu dengan majoriti 5,166 undi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.