Tiada PRK Nenggiri pun BN tetap sedia ATM, Jazlan jawab Radzi

Tiada PRK Nenggiri pun BN tetap sedia ATM, Jazlan jawab Radzi

Ketua Umno Kelantan mengingatkan Naib Presiden Bersatu Radzi Jidin supaya tidak memperbesarkan isu itu kerana banyak lagi perkara boleh dibangkitkan.

bank atm
Masalah ketiadaan mesin juruwang automatik di DUN Nenggiri sebelum ini mendapat perhatian Kementerian Kewangan yang memaklumkan pengaktifan perkhidmatan itu akan disegerakan bagi memenuhi keperluan penduduk.
GUA MUSANG:
Barisan Nasional (BN) mempertahankan usaha kerajaan untuk menyegerakan penyediaan kemudahan mesin juruwang automatik (ATM) di Nenggiri ketika tempoh kempen PRK kawasan itu.

Ketua Umno Kelantan, Ahmad Jazlan Yaakub, berkata penyediaan mesin ATM itu sebenarnya sudah lama diusahakan calon BN Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani sebelum berlakunya PRK.

“Untuk membantu rakyat, pertama sekali kita melihat kepada keperluan, apabila ada keperluan maka kita akan laksanakan.

“Cadangan mewujudkan ATM bukan sebab PRK. Saya yakin kalau bukan PRK ini pun, ATM tetap akan dibuat. Selama tempoh sejak PRN, Azmawi yang juga rakyat Nenggiri menjadi ‘wakil rakyat’ cuma bukan sebagai YB dan menerima gaji sebagai YB.

“Ia diusahakan sebelum PRK lagi dan kebetulan Azmawi jadi calon. Jika dia tidak menjadi calon pun, ATM tetap akan disediakan,” katanya ketika ditemui sempena kempen PRK Nenggiri.

Jazlan yang juga pengarah operasi BN PRK Nenggiri berkata demikian menjawab kritikan Naib Presiden Bersatu Radzi Jidin mempersoal jaminan kerajaan untuk menyegerakan penyediaan kemudahan mesin ATM di Nenggiri ketika tempoh kempen PRK kawasan itu.

Beliau berkata pengumuman kerajaan mengenai penyediaan perkhidmatan ATM berkenaan ketika kempen PRK belum pernah berlaku sebelum ini dalam mana-mana pilihanraya.

Radzi turut mempersoalkan peranan Azmawi yang secara tiba-tiba mahu perjuangkan kemudahan tersebut untuk orang Nenggiri sedangkan beliau merupakan pegawai kepada bekas Adun Nenggiri Ab Aziz Yusoff namun gagal menyelesaikan masalah itu.

Mengulas lanjut, Jazlan mengingatkan Radzi supaya tidak memperbesarkan isu ATM sedangkan banyak lagi perkara boleh dibangkitkan pemimpin Bersatu itu termasuk soal pembalakan serta pemberian tanah kepada syarikat asing oleh kerajaan negeri.

“Radzi perlu jaga Putrajaya sahajalah, dia tak tahu masalah Nenggiri, tak perlu nak jadi juara di sini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.