
Bagaimanapun, Timbalan Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan Nasir Dollah meragui ‘habuan’ berkenaan, sambil memberi amaran lantikan itu tidak dibuat hanya sekadar ‘menyedapkan hati mereka’ menjelang PRK Nenggiri, Sabtu ini.
“Manifesto calon PN sangat menarik kerana sebelum ini tidak pernah ada janji seumpama itu… ia tawaran sangat baik dan menarik untuk Orang Asli di Nenggiri.
“Lantikan ini akan menjadi penghubung antara masyarakat Orang Asli di sini dan kerajaan negeri… tapi kita khuatir jika orang yang dilantik ibarat lembu dicucuk hidung,” katanya kepada FMT, mengulas manifesto PN iaitu ‘Khidmat’ yang menjanjikan beberapa tawaran untuk komuniti Orang Asli.
“Mana-mana individu dilantik perlu ada integriti supaya setiap masalah dibawa selesai sebaiknya,” katanya yang turut menambah langkah berkenaan menyamai tindakan kerajaan Selangor dan Perak.
Menurutnya, langkah melantik pemimpin masyarakat Orang Asli itu dapat menjadi ‘jambatan’ menyelesaikan masalah berbangkit.
Rizwadi turut berjanji memperkasa peranan penghulu Orang Asli untuk menyelaras hal ehwal kebajikan komuniti itu, menaik taraf jalan masuk ke perkampungan Orang Asli serta menubuhkan pasukan khas pendidikan.
Nasir berkata sekiranya Rizwadi menang beliau mempunyai sekurang-kurangnya empat tahun merealisasikan janji berkenaan, dan jika gagal beliau ‘akan dihukum oleh Orang Asli Nenggiri’ pada pilihan raya akan datang.
“Sekiranya tidak terlaksana seperti apa yang dijanjikan maka kita sebagai pengundi kita boleh hukum mereka pada pilihan raya depan. Kita yang menaikkan dia… jadi yang menurunkan dia pun kita,” katanya.
Dianggarkan ada 2,843 Orang Asli daripada 20,259 pengundi akan memilih wakil mereka pada pilihan raya membabitkan pertandingan satu lawan satu.
Rizwadi dari PAS akan ditentang Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani yang mewakili Barisan Nasional (BN).