
Sehubungan itu, beliau yang juga pesuruhjaya PAS Perlis enggan melayan ‘gosip politik nakal’ yang sebelum ini juga pernah dibangkitkan Bersatu, sekutunya dalam Perikatan Nasional (PN).
“Saya tak tahu pun, tak perlu (ulas),” katanya kepada FMT ketika mengulas hantaran seorang pengguna X yang mendakwa Shukri diarahkan meletakkan jawatan.
“Tarikh sudah ditetapkan, untuk menteri besar ‘diarahkan’ letak jawatan. Bermulalah, satu lagi episod menarik politik Perlis,” dakwa pengguna terbabit.
Shukri dilantik sebagai menteri besar selepas PN menang 14 daripada 15 kerusi DUN Perlis pada PRU15, sekali gus menamatkan pemerintahan Barisan Nasional (BN) selama 65 tahun.
Pada November tahun lalu, Adun Kuala Perlis Abu Bakar Hamzah dari Bersatu mendesak Shukri meletak jawatan kerana didakwa membelakangkan keputusan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang mencalonkannya sebagai exco kerajaan negeri untuk tahun kedua pentadbiran PN.
April lalu, Shukri disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipercayai berkait tuduhan salah guna kuasa dalam projek pembekalan dianggar bernilai RM300,000.
Sementara itu, anaknya, Mohd Syafeeq didakwa di Mahkamah Sesyen Kangar pada 23 Mei atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu bernilai RM19,505 pada Feb lalu. Beliau mengaku tidak bersalah.

Mursyidul Am PAS Hashim Jasin ketika dihubungi mengakui ada mendengar khabar angin itu namun menyifatkannya sebagai sekadar ‘cakap tepi kedai kopi’.
“Khabar angin terlalu banyak jadi tak ada yang betul,” kata bekas Adun Sanglang itu sambil menjelaskan Shukri tidak memaklumkan kewujudan arahan berkenaan dan pentadbiran PAS berjalan seperti biasa.

Adun Titi Tinggi Izizam Ibrahim dari Bersatu yang juga exco kerajaan negeri berkata pentadbiran diketuai Shukri masih berjalan seperti biasa.
“Saya tak dapat apa-apa maklumat, berkenaan menteri besar ini saya tak campur sangat.
“Buat masa sekarang (pentadbiran) masih seperti biasa,” katanya.