Selangor tarik balik tauliah mengajar, Ustaz Don boleh rayu dalam 14 hari

Selangor tarik balik tauliah mengajar, Ustaz Don boleh rayu dalam 14 hari

Mohd Shahzihan Ahmad mengesahkan surat penarikan tauliah mengajar Don Daniyal Don Biyajid dikeluarkan pada 31 Jul lalu.

Don Daniyal Don Biyajid
Tauliah ceramah dan mengajar pendakwah popular Don Daniyal Don Biyajid sepatutnya tamat pada 30 Jun tahun depan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pendakwah popular Don Daniyal Don Biyajid mempunyai masa sehingga 20 Ogos untuk mengemukakan rayuan terhadap penarikan tauliah mengajar di Selangor dikeluarkan Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Mohd Shahzihan Ahmad menerusi kenyataan mengesahkan surat penarikan untuk Don Daniyal yang lebih dikenali Ustaz Don telah dikeluarkan setiuasaha jawatankuasa tauliah Mais pada 31 Jul lalu.

“Don Daniyah diberi tempoh 14 hari untuk merayu berkuatkuasa daripada surat penarikan tauliah diterima (31 Jul),” katanya yang turut menjelaskan tindakan itu dibuat berdasarkan kuasa Jawatankuasa mengikut subseksyen 118 (3) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

Difahamkan tarikh akhir rayuan pada 20 Ogos depan.

Mengikut surat ditularkan sebelum ini yang disahkan Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi negeri Mohammad Fahmi Ngah, tauliah mengajar Don Daniyal ditarik balik bersama empat individu lain dan susulan itu semua masjid dan surat diminta tidak mengundang mereka.

Jun lalu, Jais mengarahkan penangguhan ceramah atau mengajar Don Daniyal di negeri itu susulan isu pengajaran agama Islam daripada beliau yang disyaki membawa kepada pelanggaran beberapa ketetapan dalam Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008.

Tindakan itu selaras titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menekankan kepada semua pemegang tauliah supaya memberi kefahaman Islam yang tepat berdasarkan sumber sahih mengikut disiplin ilmu Islam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.