Pengerusi Kesedar mahu saman Takiyuddin isu tanah peneroka

Pengerusi Kesedar mahu saman Takiyuddin isu tanah peneroka

Zawawi Othman berkata peguamnya sedang melengkapkan beberapa dokumen sebelum tindakan lanjut diambil.

zawawi othman takiyuddin hassan
Terdahulu Pengerusi Kesedar Zawawi Othman meminta Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan menarik balik kenyataannya berhubung isu tanah peneroka atau berdepan tindakan undang-undang.
GUA MUSANG:
Pengerusi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) Zawawi Othman merancang meneruskan saman terhadap Takiyuddin Hassan berhubung dakwaan agensi itu tidak memproses ribuan lot tanah diluluskan kerajaan negeri untuk diberikan kepada peneroka.

Zawawi berkata, peguamnya ketika ini sedang melengkapkan beberapa dokumen sebelum tindakan selanjutnya diambil terhadap setiausaha agung PAS.

“Kita sudah lantik peguam, peguam saya akan maklumkan tindakan lanjut yang akan diambil terhadap Takiyuddin,” katanya pada sidang media.

“Kita akan perbetul tuduhan (mereka) terhadap Kesedar berhubung isu tanah (peneroka). Kita akan buat tuntutan atas nasihat peguam.”

Pada ceramah kempen PRK DUN Nenggiri 3 Ogos lalu, Takiyuddin mendakwa Kesedar tidak memproses ribuan lot tanah diluluskan oleh kerajaan negeri untuk diberikan kepada peneroka.

Susulan itu, Zawawi meminta Takiyuddin menarik balik kenyataannya sebelum hari mengundi 17 Ogos ini, atau berdepan tindakan undang-undang.

Sebagai respons, Takiyuddin berkata, pihaknya sedia berdepan Zawawi di mahkamah bagi mempertahankan hak peneroka di Gua Musang, termasuk di Nenggiri.

Menurutnya, perkara dibangkitkan itu berdasarkan fakta dan beliau akan tetap mempertahankannya walaupun berdepan tindakan undang-undang, termasuk laporan polis.

Beliau berkata, isu tersebut sepatutnya dijelaskan oleh Zawawi, yang juga ketua penerangan Umno Kelantan, di pentas ceramah kempen, bukan membawa perkara tersebut ke mahkamah, yang disifatkannya sebagai ‘tindakan pondan’.

Mengulas lanjut, Zawawi berkata Takiyuddin tidak sepatutnya menggelar seseorang individu sebagai pondan, yang menurutnya suatu ‘ucapan tidak bermoral’.

“Ucapan tak bermoral tidak sepatutnya berlaku. Menyatakan sifat saya yang pondan ialah imej yang tak baik,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.