Operasi carilamat mangsa bot karam ditamatkan

Operasi carilamat mangsa bot karam ditamatkan

Usaha mencari bagaimanapun akan diteruskan oleh Maritim Malaysia Terengganu dalam skala lebih kecil di sekitar lokasi kejadian.

Operasi carilamat hari ini meliputi kawasan pencarian seluas 407.84 batu nautika persegi, melibatkan 5 aset udara dan laut dengan kekuatan 80 anggota Maritim Malaysia, tentera laut dan polis marin. (Gambar Bernama)
CHUKAI:
Operasi mencari dan menyelamat (carilamat) dua mangsa bot karam di perairan Kemaman ditamatkan malam ini.

Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Kemaman Muhammad Faisal Abdul Rahim berkata, operasi selama tiga hari itu ditamatkan pada 7 malam ini selepas pasukan penyelamat gagal menemui sebarang petunjuk.

Bagaimanapun, katanya, usaha mencari akan diteruskan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu dalam skala lebih kecil di sekitar lokasi kejadian.

“Sembilan penyelam daripada Skuadron Selam bawah kendalian Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat Maritim Malaysia melakukan selaman di kawasan seluas 120m persegi bagi mencari badan bot.

“Walaupun jarak penglihatan baik, iaitu pada jarak 10m dan arus laut juga normal, skuad penyelam masih gagal menemui sebarang petunjuk,” katanya pada sidang media di Pangkalan Hadapan Zon Maritim Kemaman hari ini.

Muhammad Faisal berkata, operasi hari ini meliputi kawasan pencarian seluas 407.84 batu nautika persegi melibatkan lima aset udara dan laut dengan kekuatan 80 anggota Maritim Malaysia, tentera laut dan polis marin.

Katanya, pihaknya percaya usaha pencarian gagal kerana badan bot yang karam telah dihanyutkan arus yang kuat pada hari kejadian.

Pada kejadian Ahad lepas, sebuah bot nelayan membawa sembilan individu, termasuk tekong, untuk mencandat sotong dan memancing karam selepas dilanggar tongkang.

Lima daripada sembilan mangsa terselamat, dua mangsa ditemukan lemas, manakala dua lagi, Aina Husna Mohamad Husaini, 25, dan Yusof Kassam, 66, masih hilang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.