Nelayan bunuh bekas isteri kena 35 tahun penjara, 12 sebatan

Nelayan bunuh bekas isteri kena 35 tahun penjara, 12 sebatan

Dia didakwa bunuh penjual sayur itu di sebuah bilik di Kompleks Segama, Kota Kinabalu.

gavel
Tertuduh, Melo Guli, 41, didapati bersalah bunuh bekas isteri oleh Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menjatuhi nelayan hukuman 35 tahun penjara dan 12 sebatan selepas didapati bersalah membunuh bekas isteri, pada empat tahun lalu.

Hakim Faridz Gohim Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Melo Guli, 41, yang dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh mangsa yang bekerja sebagai penjual sayur di sebuah bilik tingkat dua, salah satu bangunan di Kompleks Segama, Kota Kinabalu pada 2.30 petang, 11 Feb 2020, lapor Harian Metro.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Afiq Agoes, manakala peguam Goldam Hamid mewakili tertuduh.

Perbicaraan kes itu bermula pada 30 Okt 2023 dengan seramai 14 saksi dipanggil pihak pendakwaan sepanjang tempoh perbicaraan.

Tertuduh kemudian diarah membela diri selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadapnya.

Melo kemudiannya memberikan bukti bersumpah sewaktu memberi keterangan sebagai saksi tunggal ketika membela diri pada 11 Julai lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.