Maklumat kerabat diraja bawa penahanan Datuk disyaki proses e-waste haram

Maklumat kerabat diraja bawa penahanan Datuk disyaki proses e-waste haram

Polis berkata seorang kerabat diraja maklum secara peribadi berkait kesan buruk kegiatan kilang proses sisa elektronik.

handcuff
Individu bergelar Datuk antara 55 ditahan dalam serbuan di tujuh kilang di Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, dan Johor.
KUALA LUMPUR:
Polis menahan 55 individu termasuk seorang bergelar Datuk kerana disyaki menjalankan kegiatan memproses sisa buangan elektrik dan elektronik (e-waste) secara haram dalam serbuan di tujuh kilang di beberapa negeri minggu lalu.

Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (Amla) Urus Setia Pejabat Ketua Polis Negara, Muhammed Hasbullah Ali, berkata pelbagai aset antaranya jongkong dan blok logam sisa elektronik, kenderaan, jentera serta kilang bernilai lebih RM43 juta disita.

“Kilang haram yang diserbu pada 5 Ogos lepas itu mula beroperasi sejak 2023 bagi memproses sisa elektronik dengan melakukan pembakaran pada waktu malam bagi mengelakkan kegiatan dikesan dan menyebabkan pencemaran udara.

“Selain menjejaskan kelestarian alam sekitar, e-waste itu juga diimport secara haram dari sebuah negara Asia yang kemudian diproses menjadi jongkong dan blok logam yang akan dijual ke luar negara dengan nilai mencecah jutaan ringgit,” katanya pada sidang media.

Beliau berkata, siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti mengapa Malaysia menjadi destinasi untuk kegiatan ini.

Hasbullah berkata, kilang yang diserbu itu terletak di Salong, Pekan dan Bukit Ibam di Pahang; di Kuang, Rawang dan Bukit Tagar di Selangor; Rembau dan Gemencheh di Negeri Sembilan; dan Simpang Renggam di Johor.

Beliau berkata, kilang tidak berdaftar itu dibina di dalam kawasan ladang kelapa sawit dan hutan simpan serta didapati menggajikan pekerja warga asing secara tidak sah.

“Suspek yang ditahan berumur lingkungan 30 hingga 50 tahun membabitkan 10 warga tempatan yang telah direman antara lima ke tujuh hari, manakala 45 warga asing termasuk seorang wanita direman 14 hari,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 serta Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009.

Selain itu, kes turut disiasat mengikut Seksyen 32 Akta Perhutanan Negara 1984, Seksyen 24 Akta Kualiti Alam Sekitar 1974, Seksyen 135 Akta Kastam 1967 dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63.

Hasbullah berkata, siasatan bermula selepas dimaklumkan secara peribadi oleh seorang kerabat diraja mengenai keresahan rakyat berhubung kesan buruk kegiatan kilang memproses sisa elektronik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.