‘Kamu tersakiti’, Fahmi bidas Wan Fayhsal

‘Kamu tersakiti’, Fahmi bidas Wan Fayhsal

Sabtu lalu Ahli Parlimen Machang cabar dua menteri berdebat isu MAHB.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal ‘ketagih perhatian’.
KUALA LUMPUR:
Fahmi Fadzil meminta Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal terus menyahut cabaran debat ‘cetak wang’ oleh Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berbanding ‘menagih perhatian’.

Menteri komunikasi berkata, Wan Fayhsal dilihat ‘sentap’ apabila Rafizi mencabarnya berdebat mengenai formula pernah dilaungkan ketua Pemuda Bersatu itu.

“Saya nampak dia tersakiti dan tersentap kerana Rafizi telah melontarkan cabaran (debat) berkaitan formula cetak wang pernah dilaungkan Ahli Parlimen Machang itu.

“Jadi sekarang sama ada dia terima cabaran itu. Bukan mudah nak bahas dengan menteri ekonomi. Pergilah situ,” katanya pada sidang media selepas majlis ‘Jejak Panda’ oleh Foodpanda Malaysia di IWK Eco Park.

Fahmi berkata, jika Wan Fayhsal berniat membahaskan isu berkaitan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), ia boleh dilakukan di Parlimen dengan mengikut peraturan dan cara berhemat.

“Dia ‘ketagih perhatian’ dan cuma inginkan orang ramai lihatnya. Kalau betul-betul nak debat sepatutnya jangan bawa surat layang ke Parlimen,” katanya.

Wan Fayhsal kini digantung Dewan Rakyat selama enam bulan susulan kenyataannya berhubung dalang pengambilalihan MAHB pada 1 Julai lalu.

Sabtu lalu, beliau meminta Fahmi dan Rafizi tidak mengalihkan isu lain berhubung pelawaan debat mengenai MAHB menjual saham kepada syarikat pro-Zionis.

Terdahulu, dilaporkan Rafizi mengajak Wan Fayhsal berdebat mengenai topik ‘bagaimana merancakkan ekonomi dengan mencetak wang’.

Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata, isu itu perlu dibahaskan kerana ia ‘idea yang paling bernas mengenai ekonomi pernah datang daripada Perikatan Nasional’.

Tahun lalu, Rafizi berdebat dengan Ahli Parlimen Bachok daripada PAS Mohd Syahir Sulaiman menerusi tajuk ‘Model Baharu Ekonomi Malaysia’.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.