Hannah mohon maaf belum dapat tamatkan kemarau emas Olimpik 68 tahun

Hannah mohon maaf belum dapat tamatkan kemarau emas Olimpik 68 tahun

Menteri belia dan sukan berkata namun program Road to Gold berjaya tingkat prestasi atlet negara pada Olimpik Paris.

Hannah Yeoh berkata, Road to Gold yang ditubuh tahun lalu tidak gagal, sebaliknya belum berjaya kerana ia merupakan program jangka panjang sehingga Olimpik Los Angeles 2028. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana belum dapat menamatkan kemarau 68 tahun membawa pulang pingat emas daripada Olimpik Paris 2024.

Katanya, program Road to Gold (RTG) yang ditubuhkan tahun lalu ‘tidak gagal’, sebaliknya belum berjaya kerana ia merupakan program jangka panjang bagi dua temasya Olimpik, seterusnya pada Olimpik Los Angeles 2028.

“Jadi, kita belum berjaya mendapatkan pingat emas pertama dan seperti yang saya nyatakan pemegang taruh kita dalam RTG adalah atlet dan jurulatih kerana ini (RTG) adalah ‘top service’ untuk mereka pertingkatkan peluang dapatkan pingat emas,” katanya menurut Bernama.

Hannah berkata, RTG menyaksikan peningkatan prestasi bagi beberapa atlet.
Beliau berkata, ini terbukti apabila tiga atlet telah berjaya memecahkan rekod kebangsaan pada temasya itu iaitu pelumba basikal trek Azizulhasni Awang dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri serta atlet angkat berat Mohamad Aniq Kasdan selain terdapat beberapa atlet lain mencipta catatan peribadi terbaik.

Katanya, Jawatankuasa RTG akan bermesyuarat dan mendapatkan laporan teknikal daripada kesemua pasukan bagi menilai prestasi serta menyediakan laporan beraudit berkenaan perbelanjaan program itu.

Namun, beliau berkata pihaknya memerlukan masa untuk bermesyuarat dan menyediakan laporan tersebut kerana berdepan jadual padat susulan penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) 2024 Sarawak dan Sukan Paralimpik Paris 2024 bermula 28 Ogos.

Malaysia menamatkam misi Olimpik Paris 2024 dengan dua pingat gangsa menerusi beregu badminton lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Sik dan jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.