
Azalina berkata, perubahan masa dan teknologi memerlukan undang-undang ditinggalkan penjajah itu perlu dikaji.
“Undang-undang ini dibuat sebelum merdeka lagi oleh kerajaan British atas objektif niat mereka sebagai koloni…kita kena kaji. Sampai bila kita nak hidup dengan undang-undang ini.
“Negara kita sudah berapa tahun merdeka takkan kita nak guna undang-undang penjajah, bukan semua tak elok, tapi kita kaji, kita nilai,” katanya ketika ditemui semasa berkempen di Kampung Limau Kasturi.
Mengulas lanjut, Azalina berkata undang-undang membabitkan digital misalnya memerlukan kepada pembaharuan kerana peruntukan yang sedia ada sekarang tidak memadai.
“Undang-undang sekarang (membabitkan) digital tak mencukupi, nak tangkap (pesalah) susah. Hukumannya minimum, undang-undangnya ada tapi tak melengkapi,” katanya lagi.
Semalam, Azalina berkata lebih 3,000 undang-undang lapuk perlu dikaji semula bagi memastikan ia kekal relevan dengan peredaran masa.
Media baru-baru ini juga melaporkan Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul memanggil ketua setiausaha dan penasihat undang-undang setiap kementerian untuk melihat semula akta sedia ada yang mungkin tidak sesuai pada masa ini.
Langkah itu katanya, perlu untuk membincangkan undang-undang yang tidak lagi relevan atau sesuai dengan era digital dan perlu ditambah baik agar seiring dengan peredaran masa.