Umat Islam boleh lawat rumah ibadat lain, kata ahli akademik

Umat Islam boleh lawat rumah ibadat lain, kata ahli akademik

Kunjungan seperti ini boleh mengembangkan pengetahuan dan menyediakan platform untuk bertukar-tukar fikiran dan perspektif, kata Tajuddin Rasdi.

hadi-gereja
Pemimpin politik Islam, termasuk Presiden PAS Hadi Awang, pernah melawat gereja sebelum ini. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Umat Islam dibenarkan mengunjungi rumah ibadat lain atas pelbagai sebab, termasuk meluaskan perspektif serta membuat lawatan rasmi, kata seorang ahli akademik.

Tajuddin Rasdi, seorang profesor seni bina Islam di Universiti UCSI berkata, kunjungan ke rumah ibadat seperti kuil dan gereja boleh mengembangkan pengetahuan orang ramai, terutamanya di negara berbilang kaum dan agama seperti Malaysia.

“Kita boleh bertukar-tukar fikiran, perspektif dan sebagainya. Banyak juga perkara yang boleh kita pelajari dari segi teknologi dan budaya,” katanya dalam video yang dimuat naik di YouTube hari ini.

Tajuddin berkata demikian susulan isu Jabatan Agama Islam Perak memohon maaf selepas menganjurkan lawatan ke kuil Hindu di Kuala Lumpur bulan lepas.

Lawatan itu mencetuskan perdebatan di media sosial selepas sebuah klip video menjadi tular, memaparkan seorang peserta wanita berkata terdapat banyak persamaan antara agama Islam dengan Hindu.

Tajuddin berkata, pelancong turut gemar mengunjungi rumah ibadat dan ini membantu merangsang ekonomi tempatan.

Menurutnya, umat Islam juga dibenarkan mengunjungi rumah ibadat sebagai sebahagian daripada lawatan rasmi, memetik lawatan Yang di-Pertuan Agong terdahulu, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah ke Westminster Abbey untuk memberikan penghormatan terakhir kepada Ratu Elizabeth II yang mangkat pada 2022.

“Dari sini boleh dilihat, kita boleh melawat jika ada acara dan sebagainya,” kata Tajuddin menambah, beliau sebelum ini turut pernah memberi ceramah tentang Islam dan isu-isu dengan kuil dan gereja.

Pada masa lalu, pemimpin-pemimpin politik turut membuat kunjungan ke rumah ibadat bukan Islam, seperti Ketua Pemuda PAS ketika itu Nik Abduh Nik Aziz yang melawat Gereja St Anthony di Kuala Lumpur pada 2017.

Pada 2020, ketua menteri sementara Sabah ketika itu, Shafie Apdal menjadi pemimpin Islam pertama yang merasmikan dewan agama untuk masyarakat Katolik di Keningau, Sabah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.