
Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Kemaman, Muhamad Faisal Abdul Rahim, berkata tidak objek menyerupai manusia atau bangkai bot ditemui sepanjang operasi pencarian melalui udara dan laut pada hari kedua meliputi kawasan seluas 318 batu nautika persegi dari perairan Kemaman hingga Pulau Tenggol, Dungun.
“Meskipun cuaca pada awal pagi baik, namun tidak menyebelahi pasukan penyelamat. Setelah kita melakukan pencarian dari 7 pagi hingga 7 malam ini, kita tidak menemui sebarang petunjuk.
“Lokasi bot juga kita tak dapat nak pastikan, sama ada masih berada di situ atau hanyut ke tempat lain dan kita sedang berusaha menjejakinya,” katanya menurut Sinar Harian di pusat kawalan operasi Zon Maritim Kemaman.
Menurutnya, usaha pencarian tetap diteruskan, walaupun berdepan keadaan laut bergelora dan ia akan diperluaskan hingga perairan Kuala Terengganu esok.
Terdahulu, media melaporkan dua mangsa ditemui lemas dan dua lagi hilang selepas bot dinaiki sembilan penumpang, termasuk dua tekong karam kira-kira 6.30 pagi semalam.
Bot dinaiki pemancing berasal dari Raub, Pahang dan Selayang, Selangor itu dikatakan dilanggar sebuah tongkang kira-kira tujuh batu nautika dari perairan Kuala Kemaman.
Dua mangsa lemas ialah Siti Zamimah Mohman Zobini, 29, berasal dari Selayang dan tekong tempatan, Shahril Ismail, 50, manakala mangsa hilang ialah Yusof Kassam, 66, serta Aina Husna Mohamad Husaini, 25.
Lima lagi mangsa terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita diselamatkan bot nelayan lain yang kebetulan melalui lokasi kejadian. Mereka ialah Rosnawi Harun, 50, Ain Farhana Mohamad Husaini, 30, Haziah Harun, 63, Mat Ali Alahan, 66, dan tekong bot, Saipul Ridzuan Osman, 50.