Suspek berhubung Cikgu Istiqomah atas urusan Forex, kata polis

Suspek berhubung Cikgu Istiqomah atas urusan Forex, kata polis

Polis berkata, suspek adalah bekas guru dan kenalan mangsa masa belajar.

Istiqomah Ahmad Rozi
Polis mengesahkan mayat tanpa kepala dan dua tangan serta kaki yang ditemui dalam tong sampah di Pulau Sebang, Alor Gajah Disember lalu milik Istiqomah Ahmad Rozi. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Suspek disyaki terbabit pembunuhan Cikgu Istiqomah dipercayai berhubung dengan mangsa atas urusan pelaburan tukaran mata wang asing (Forex).

Ketua Polis Alor Gajah, Ashari Abu Samah, berkata suspek 37 tahun yang sudah berkahwin itu direman sejak 6 Ogos lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Suspek adalah bekas guru dan kenalan mangsa masa belajar, berurusan dengan mangsa atas urusan pelaburan Forex,” katanya menurut Sinar Harian.

Terdahulu, media melaporkan reman suspek disambung tujuh hari mulai esok untuk membantu siasatan kes pembunuhan guru Sekolah Kota Masai 3 di Pasir Gudang, Istiqomah Ahmad Rozi, 33.

Perintah reman sehingga Isnin depan terhadap lelaki itu dikeluarkan Majistret Teoh Shu Yee.

Suspek bersama isterinya berusia 36 tahun direman mulai 6 Ogos lalu hingga hari ini, sebelum isterinya dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

Awal Januari lalu, media melaporkan mayat seorang wanita tanpa kepala, kedua-dua tangan dan kaki yang ditemui dalam tong sampah di Pulau Sebang, Alor Gajah pada 31 Dis 2023 disahkan milik Istiqomah selepas ujian DNA terhadap ibu mangsa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.