
Menurutnya, jika dibiarkan Annuar menjadi ahli Umno lebih lama, beliau akan membawa lebih banyak masalah kepada parti.
“Ambo (saya) antara yang suruh presiden buang (Annuar), tak guna simpan kemuncup di seluar dalam.
“Baik Datuk Seri Zahid ini sebenarnya, sebab lambat buang dia. Patut sudah lama buang Annuar sebab serabut, ambo ucap tahniah kepada puak-puak PAS kerana ambil masalah Umno bawa masuk dalam PAS,” katanya berucap pada majlis ramah mesra bersama penduduk Jeram Tekoh yang turut dihadiri Zahid.
Ahmad Jazlan mendakwa Annuar ketika berkempen di PRK Nenggiri seolah-olah ingin melepaskan dendam dengan menyerang Zahid, sedangkan ia tiada kaitan dengan keperluan penduduk.
“Kerja dia hentam presiden dan pemimpin Umno, bukan nak cakap masalah rakyat Nenggiri. Jangan bawa masalah peribadi ke Nenggiri. Demo kena buang sebagai setiausaha agung Umno ada sebab, orang tak akan buang senang-senang setiausaha agung kalau tak ada sebab.
“Hari ini kita nak cakap masalah di Nenggiri, kita bawa timbalan perdana menteri nak selesai masalah rakyat Nenggiri, bukan cakap soal peribadi.”
Beliau berkata, penduduk Nenggiri perlu menyokong BN supaya masalah mereka dapat diselesaikan kerana kebanyakan isu berbangkit berada di bawah bidang kuasa kerajaan pusat yang tidak mampu ditangani kerajaan negeri.
Sementara itu, Zahid dalam ucapannya turut meminta pengundi Nenggiri memilih calon BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani yang merupakan pilihan terbaik ditawarkan kepada penduduk.
“Kalau orang Nenggiri tak pilih (Azmawi) dalam PRK Nenggiri kali ini, jangan harap saya nak naikkan Azmawi sekali lagi. Kalau orang sini pilih (Azmawi) sebagai wakil rakyat, tapi dia tak tolong rakyat, kali ini sahaja dia jadi calon.
“Tapi, saya yakin Azmawi pemimpin baik dan mampu memberi perkhidmatan terbaik kepada penduduk Nenggiri,” katanya yang berjanji lebih banyak kemajuan akan dinikmati penduduk Nenggiri dan Gua Musang, jika BN menang PRK 17 Ogos ini.