Pelajar madrasah mengaku salah liwat junior

Pelajar madrasah mengaku salah liwat junior

Tertuduh berusia 15 tahun didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah madrasah di Batu Pahat pada 8 Julai lalu.

Gavel
Pelajar sebuah madrasah berusia 15 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Batu Pahat hari ini kerana meliwat junior dalam sebuah stor, bulan lalu. (Gambar Pexel)
PETALING JAYA:
Seorang pelajar sebuah madrasah mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Batu Pahat atas pertuduhan meliwat murid junior dalam sebuah stor, bulan lalu.

Tertuduh berusia 15 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Suhaila Shafi’uddin, menurut Berita Harian.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan persetubuhan bertentangan aturan tabii tanpa kerelaan mangsa berusia 13 tahun di sebuah madrasah di daerah itu, antara 12 tengah malam hingga 1 pagi, 8 Julai lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya Farah Wahidah Mohd Sharip mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam Azlan Bohari.

Susulan pengakuan bersalah tertuduh, mahkamah menetapkan 25 September depan untuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyediakan laporan akhlak serta fakta dan perintah dikenakan terhadap tertuduh kelak.

Mahkamah turut membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.