Laporan rombak exco Selangor ‘tiada asas’, kata Najwan

Laporan rombak exco Selangor ‘tiada asas’, kata Najwan

Exco belia, sukan dan keusahawanan negeri itu berkata, isu itu juga tidak berbangkit pada mesyuarat exco negeri hari ini.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Mohd Najwan Halimi berkata, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari meminta semua exco menumpukan pada tugas masing-masing. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang exco Selangor menyangkal kemungkinan berlakunya rombakan barisan exco di negeri itu seperti dilaporkan sebuah portal, yang menurutnya tiada asas.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Mohd Najwan Halimi berkata, isu itu juga tidak berbangkit pada mesyuarat exco negeri itu yang diadakan hari ini.

Malah Menteri Besar Selangor Amirudin Shari meminta semua exco mengabaikan laporan sebegitu, sebaliknya menumpukan pada tugas masing-masing, katanya.

“Laporan tiada asas. Kami baru selesai mesyuarat exco (Selangor) hari ini dan tak berbangkit pun isu rombakan.

“Menteri besar minta semua exco tumpu pada tugas dan abaikan laporan-laporan seperti itu,” kata exco PKR itu kepada FMT.

Sementara itu, Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin daripada DAP berkata, beliau tidak mendengar sebarang berita mengenai kemungkinan berlakunya rombakan exco Selangor.

Katanya, perkara itu turut tidak dibangkitkan pada peringkat DAP.

“Tak ada, tak dengar apa-apa,” katanya.

Terdahulu, sebuah portal melaporkan terdapat kemungkinan barisan exco Selangor dirombak pada hujung bulan ini atau bulan depan.

Menurut sumber portal itu, Amirudin sedang mempertimbangkan cadangan untuk menggantikan dua orang exco, dipercayai daripada PKR dan DAP.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.