Kemuka RUU baharu, pindaan 14 hari awal, speaker beritahu KSU

Kemuka RUU baharu, pindaan 14 hari awal, speaker beritahu KSU

Langkah itu bagi memberi Ahli Parlimen lebih masa untuk meneliti dan mengkaji RUU sebelum dibahaskan, kata Johari Abdul.

Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul turut mengingatkan semua Ahli Parlimen supaya tidak menjadikan Parlimen sebagai platform untuk mempromosi diri sendiri. (Gambar Bernama)
KUALA TERENGGANU:
Ketua setiausaha (KSU) di semua kementerian diminta mengemukakan rang undang-undang (RUU) baharu atau pindaan RUU kepada Parlimen 14 hari lebih awal.

Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul berkata, langkah itu bagi membolehkan Ahli Parlimen mempunyai lebih masa untuk meneliti dan mengkaji RUU sebelum dibahaskan.

Selain itu, katanya, ia juga dapat menjimatkan masa perbahasan semua Ahli Parlimen yang seringkali meleret-leret sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati sesama mereka.

“Saya dah panggil semua KSU dan mohon kerjasama mereka, kalau ada RUU baharu yang akan diperkenalkan di Parlimen atau ada pindaan terhadap satu undang-undang, seelok-eloknya RUU itu sampai awal ke Parlimen.

“Saya menetapkan seeloknya 14 hari supaya dalam tempoh itu, kita sempat edar kepada Ahli Parlimen. Ahli Parlimen pula dapat baca dan buat kajian sebab ada masa,” katanya pada sidang media selepas lawatan kerja ke DUN Terengganu hari ini.

Turut hadir, Speaker DUN Terengganu Mohd Nor Hamzah dan timbalannya, Khazan Che Mat.

Dalam pada itu, Johari turut mengingatkan semua Ahli Parlimen supaya tidak menjadikan Parlimen sebagai platform untuk mempromosi diri sendiri.

Johari berkata, isu politik tidak sekali-kali boleh dibawa masuk ke Parlimen kerana ia merupakan tempat untuk membincangkan masalah rakyat.

“Di Parlimen rakyat nak dengar pasal (masalah) mereka, bukan kita (ahli politik),” katanya.

“Setiap minit kita berada dalam Dewan adalah untuk rakyat. Jadi elakkan promosi diri sendiri dan bincang hal rakyat yang banyak.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.