
“Jika kerajaan tidak mampu atau tidak mahu mengambil risiko teknologi itu, ia harus menjual DNB kepada syarikat utiliti yang tidak dimiliki mana-mana pengendali rangkaian mudah alih (MNO),” kata sumber yang enggan dikenali itu kepada FMT.
Sebaik-baiknya, katanya, kerajaan harus mengelak risiko memiliki rangkaian 5G berikutan keusangan pesat teknologi secara amnya.
“Ini isu biasa dengan teknologi baharu. Persoalannya adalah sama ada pengendali atau pemilik rangkaian 5G boleh menanggung risiko keusangan teknologi. Kebolehgunaannya merosot lebih cepat daripada kereta.
“Sebelum kita boleh mendapatkan semula kos modal, kita sudah perlu beralih kepada 6G dan generasi lain. Terlalu mahal,” katanya menambah, kerajaan hanya akan membebankan pembayar cukai.
Sumber itu berkata, pilihan lebih baik adalah agar syarikat utiliti memiliki dan mengendalikan rangkaian 5G.
“(Rangkaian 5G) sepatutnya dimiliki oleh amanah perniagaan atau pelabur yang berminat dalam prasarana,” kata sumber itu.
Beliau juga berkata, rangkaian kedua harus menyasarkan perkhidmatan khusus seperti rangkaian kampus atau semikonduktor, dengan syarikat telekomunikasi memberikan tumpuan kepada menyediakan perkhidmatan pelanggan pada peringkat aplikasi.
Veteran industri itu juga menzahirkan kebimbangan bahawa struktur semasa DNB, yang mempunyai syarikat telekomunikasi utama sebagai pemegang saham dan menganggotai lembaga pengarah, akan menimbulkan isu konflik kepentingan.
DNB ditubuhkan oleh kerajaan untuk membangunkan prasarana 5G dan sebagai penyedia tunggal perkhidmatan 5G kepada MNO di negara ini secara borong.
Susulan protes, kerajaan mengumumkan rancangan membangunkan rangkaian kedua dan mempelawa MNO berminat mengendalikannya untuk memperoleh saham dalam DNB.
Pada Jun, CelcomDigi, Maxis, U Mobile dan YTL Communications mengesahkan mereka berjaya memenuhi syarat perjanjian langganan saham, membolehkan mereka memperoleh 70% kepentingan kolektif dalam DNB.
Bagaimanapun, pada 28 Jun, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal daripada Bersatu menggesa kerajaan agar menghentikan rancangan membangunkan rangkaian kedua itu. Katanya, skim ini mungkin mencetuskan konflik kepentingan dalam kalangan MNO dan dalam DNB sendiri.
Bulan lepas, Mohamed Awang Lah, bekas ketua eksekutif Jaring, penyedia perkhidmatan Internet pertama Malaysia, menggesa DNB dibubarkan atau disusun semula supaya firma itu tidak terikat kepada MNO.