
Chan Oh Teh, 72, berkata nasib mereka di Kampung Batu 5 tidak berubah selepas beberapa kali bertukar wakil rakyat.
Warga emas ini dengan nada kecewa berkata keluarganya tidak pernah dikunjungi Adun Nenggiri apatah lagi beri bantuan.

“Bagi saya sama saja parti mana. Parti menang pun tak datang, parti kalah pun tak jenguk kami, baik Barisan Nasional atau PAS,” katanya kepada FMT.
“Lepas menang mereka ini tak tahu datang atau tidak turun padang.”
Tong Bong Sing, 71, pula beritahu FMT beliau akan keluar mengundi jika ada pihak sudi membawanya ke tempat mengundi.
“Kalau ada orang datang ambil, kita keluar mengundi. Kalau tak ada siapa ambil, kami tak pergi sebab nak bawa kereta tak boleh,” katanya.

Warga emas ini berkata beliau pernah keluar mengundi atas upaya sendiri.
“Kalau parti menang pun kita tak dapat apa, kalah pun tak dapat apa. Jadi buat apa susahkan diri pergi mengundi?” soalnya.
Toang Kain, 45, pula berkata beliau akan keluar jika diberi bantuan seperti bayaran minyak untuk kenderaan, sebelum hari mengundi.
“Kalau tak bantu, saya tak akan keluar mengundi. Takkan nak guna modal sendiri? Kita orang kampung nak ambil duit dari mana isi minyak… nak pergi mengundi jauh,” katanya.
Sementara itu, Chan berkongsi pengalaman menghadapi banjir besar di Kelantan pada 2014, apabila rumahnya jadi tempat letak barang bantuan.

“Mereka yang datang beri bantuan tak bantu kami di Kampung Batu 5. Mereka hanya bantu penduduk terjejas banjir sekitar Kampung Batu 6 sahaja. Rumah saya mereka tumpang letak barang sahaja.
“Bila tanya kenapa saya tak dibantu, mereka kata rumah saya tak tenggelam jadi tak layak dapat,” katanya.
Seramai 20,259 pengundi akan memilih wakil mereka pada 17 Ogos, dalam pertandingan satu lawan satu antara BN dan PAS.