‘Lepas menang duduk sini’, pengundi Nenggiri beritahu bakal YB

‘Lepas menang duduk sini’, pengundi Nenggiri beritahu bakal YB

Penduduk tidak kisah calon parti mana menang asalkan dapat membela nasib mereka.

CALON DUN NENGGIRI
Calon PRK Nenggiri Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani mewakili Barisan Nasional dan Mohd Rizwadi Ismail yang menggalas harapan PAS menetap di Bertam Lama.
GUA MUSANG:
Penduduk Nenggiri berharap wakil rakyat yang dipilih pada 17 Ogos ini terus menetap di DUN itu sekali gus memudahkan urusan membela nasib mereka.

Napisah Mustapa, 52, tidak kisah calon parti mana menang asalkan dapat menyelesaikan masalah dihadapi penduduk.

“Kita harap selepas menang mereka menetap di sini, bukan buat rumah di luar Nenggiri. Silalah menetap di Bertam Lama (kampung bawah DUN Nenggiri) senang untuk kami mengadu masalah,” katanya kepada FMT.

Kedua-dua calon iaitu Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani atau lebih dikenali sebagai Awie mewakili Barisan Nasional (BN) dan Mohd Rizwadi Ismail yang menggalas harapan PAS menetap di Bertam Lama.

Napisah berkata, khidmat Rizwadi yang memiliki kelebihan dari segi agama dan Azmawi memegang jawatan dalam Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) diperlukan penduduk.

“Apa pun kita harap selepas menang bantu rakyat, jangan bercakap sahaja tapi lepas menang hilang,” katanya.

Siti Aminah Mohamad.

Siti Aminah Mohamad, 47, minta calon menang menyelesaikan isu infrastruktur di Bertam Lama terutama bekalan air.

“Kawasan rumah saya air bermasalah sejak beberapa tahun lalu, meter air hanya ‘keluar angin’ sahaja setiap bulan tapi bil tetap kena bayar,” katanya.

Guru hanya mahu dikenali sebagai Zabidi berharap wakil rakyat baharu menyelesaikan isu jalan di kawasan berkenaan.

“Macam jalan Bertam Lama nak ke Jelawang pelik…dari dua lorong tiba-tiba menjadi satu lorong sepanjang 2km, kemudian kembali kepada dua lorong,” katanya.

Jalan dua lorong menjadi satu lorong yang turut dilalui kenderaan berat.

Katanya, laluan itu turut dilalui lori dan jentera berat malah kerap berlaku kemalangan terutama pada waktu malam.

Sementara itu, berbaki kurang seminggu sebelum hari pengundian, Nazim Yusof tidak berdepan masalah mengenali calon bertanding kerana kedua-duanya menetap di kampungnya.

Nazim Yusof
Nazim Yusof.

Nazim, 57, tidak kisah calon parti mana menang PRK kerana sebagai penduduk Bertam Lama, dia rasa bertuah apabila bakal wakil rakyat dari kampung itu.

“Tak kira siapa menang kami tetap bertuah. Calon BN isterinya anak jati Kampung Bertam Lama, manakala ustaz Rizwadi juga menetap di Bertam Lama.

“Kalau ustaz Wadi (Rizwadi) menang, kita dapat manfaat daripada kerajaan negeri sebab kerajaan negeri parti sama memerintah. Kalau Azmawi menang kita dapat manfaat daripada agensi kerajaan pusat. Jadi kedua-dua calon bertanding siapa menang kami tetap bertuah,” katanya.

Seramai 20,259 pemilih terdiri 20,245 pengundi biasa dan 14 anggota polis layak mengundi pada PRK Nenggiri, dengan jumlah penduduk di Bertam Lama seramai 473 orang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.