Dulu tak peduli, sekarang berpusu cari Orang Asli, BN bidas PN

Dulu tak peduli, sekarang berpusu cari Orang Asli, BN bidas PN

Syahbuddin Hashim berkata beliau terima laporan mereka janji 'bulan dan bintang'.

Timbalan Pengarah Pilihan Raya BN PRK Nenggiri Syahbuddin Hashim berkata beliau tidak nampak PN cuba selesai isu Orang Asli dengan serius. (Gambar Facebook)
GUA MUSANG:
Kelakuan pemimpin Perikatan Nasional sekitar Orang Asli menjelang PRK DUN Nenggiri menarik perhatian Barisan Nasional, yang mengatakan gabungan itu sebagai terdesak.

Timbalan Pengarah Pilihan Raya BN PRK Nenggiri Mohd Syahbuddin Hashim berkata PN yang dahulu tidak peduli soal Orang Asli sekarang berpusu-pusu ke penempatan komuniti itu untuk meraih sokongan mereka.

“Saya dapat laporan daripada pemimpin tempatan mereka janji ‘bulan dan bintang’,” katanya pada sidang media di bilik gerakan utama BN di Bukit Cekati.

Syahbuddin berkata beliau tidak nampak PN cuba selesaikan isu Orang Asli dengan serius. “Dalam Dewan Undangan Negeri pun kita tengok tak ada bajet tambahan besar diberikan kepada masyarakat Orang Asli.”

“Isu utama mereka berkaitan tuntutan ‘tanah adat’ supaya diwartakan dan sehingga hari ini kerajaan masih lagi berdolak-dalik dan bermain tarik tali.”

“Semalam kita tengok laporan masyarakat Orang Asli di Kuala Betis kata mereka ‘makan debu’ selama 40 tahun. Debu-debu lori balak. Lori lalu depan rumah tapi mereka tak dapat apa-apa manfaat dari perkara ini.”

Syahbuddin percaya pengundi Orang Asli akan bersama BN pada pilihan raya kali, kerana tahu gabungan itu banyak membantu.

Semalam, kerajaan Kelantan berikrar akan membantu susulan pertemuan dengan Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan dan ketua komuniti daripada 17 penempatan.

Timbalan Menteri Besar Mohamed Fadzli Hassan berkata beliau sedih mendengar rungutan pemimpin masyarakat Orang Asli terutama berkaitan prasarana.

Beliau berjanji kerajaan Kelantan akan ‘melihat permasalahan’ dan setakat mana ia mampu selesaikan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.