
“Kamu tetap dan selamanya permata negara, terima kasih,” katanya menerusi hantaran dimuat naik di ruangan Facebook ‘story’ berlatarbelakangkan gambar The Pocket Rocketman.
Azizulhasni yang menggalas impian negara untuk merangkul emas pertama pada temasya itu tersingkir seawal saringan pertama acara keirin lelaki di Velodrom Saint-Quentin-en-Yvelines, Paris, semalam.
Penyertaan pelumba berusia 36 tahun itu dibatalkan semasa saringan satu pusingan pertama selepas didapati memotong derny (basikal elektrik bertindak sebagai pacer) sebelum derny meninggalkan trek, sekali gus perlumbaan dimulakan semula tanpa penyertaan Azizulhasni.
Penyandang pingat perak itu sepatutnya bersaing dengan lima pelumba lain iaitu Matthew Glaetzer dari Australia, Rayan Helal (Perancis), Kaiya Ota (Jepun), Jeffrey Hoogland (Belanda) dan pelumba Suriname, Jair Tjon En Fa.
Saringan satu itu dimenangi Glaetzer sementara kedua menjadi milik Hoogland.