
Ketua Pengarah Kastam, Anis Rizana Mohd Zainudin, menegaskan hanya segelintir anggota terbabit salah laku sambil memaklumkan JKDM menunjukkan rekod cemerlang apabila mencapai lebih daripada sasaran kutipan hasil negara pada 2023.

“Kutipan hasil iaitu sebanyak RM55.1 bilion bagi tahun 2023, melepasi sasaran RM53.5 bilion dengan lebihan RM1.6 bilion atau 3%.
“Manakala hingga 31 Julai 2024, JKDM berjaya memungut hasil RM37.6 bilion, iaitu mencapai prestasi sebanyak 113.9% berbanding unjuran semasa ditetapkan RM33.006 bilion,” katanya kepada FMT.
Pada 13 Jun lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 17 individu termasuk 11 pegawai JKDM bagi membantu siasatan kes penyeludupan barangan import dan elak cukai atau ‘kontena terbang’ di Pelabuhan Klang membabitkan ketirisan berjumlah RM3.5 bilion sejak 10 tahun lalu.
Hasil siasatan SPRM berjaya merampas wang tunai kira-kira RM4.4 juta dipercayai diperoleh secara rasuah oleh pegawai kastam terlibat.
Sementara itu, Anis berkata ketika menerima tanggungjawab sebagai ketua pengarah kastam pada 25 Sept tahun lalu, beliau melihat ia adalah amanah perlu dilaksanakan dengan baik dan ikhlas.
Beliau beriltizam melakukan penambahbaikan berterusan dalam JKDM dengan memperkasakan tatakelola dan anti-rasuah selaras konsep Malaysia Madani.
“Saya imbas kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam ucapannya semasa majlis perhimpunan bulanan bersama warga Kementerian Kewangan bahawa isu ini (rasuah) tidak akan dibiar mencacatkan imej penjawat awam.
“Saya percaya tugasan penuh cabaran ini dapat dilaksanakan dengan sokongan padu dan semangat juang semua warga JKDM,” katanya.