Saya dalang utama guling Dr M demi Umno, dedah Zahid

Saya dalang utama guling Dr M demi Umno, dedah Zahid

Zahid Hamidi menyifatkan tindakan itu penting untuk menentang Dr Mahathir Mohamad yang didakwanya mahu membatalkan pendaftaran Umno.

zahid mahathir
Presiden Umno Zahid Hamidi mendedahkan beliau adalah dalang utama yang mengulingkan Dr Mahathir Mohamad.
PETALING JAYA:
Presiden Umno Zahid Hamidi secara terbuka mengaku beliau dalang utama terbabit menggulingkan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dalam usaha menyelamatkan parti itu daripada diharamkan.

Beliau menyifatkan tindakan luar biasa tersebut penting untuk menentang Mahathir yang didakwanya ketika itu mahu membatalkan pendaftaran Umno.

“Maka dalam keadaan itu, di Jelai, di Sungai Koyan di sini, saya mesti menyatakan, mengakui adalah dalang utama yang menjatuhkan Mahathir ketika itu, demi Umno mana mungkin diharamkan, dihina dan dilemparkan pelbagai tuduhan…dilabel sebagai perompak atau rasuah.

“Apabila saya tahu Umno mahu diharamkan…ini telah disahkan oleh Anwar (Perdana Menteri Anwar Ibrahim) di Ilmu (Institut Latihan Memperkasakan Umno),” katanya menurut Berita Harian.

Timbalan perdana menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Cameron Highlands di Laman Sejahtera Jelai di Sungai Koyan, Lipis, Pahang.

Beliau berkata, Anwar memaklumkan kertas untuk mengharamkan Umno sudah ada di meja menteri dalam negeri Muhyiddin Yassin ketika itu, di era pentadbiran Mahathir sebagai perdana menteri.

“Dalam keadaan sebegitu, sudah pasti ahli-ahli khususnya kepemimpinan bergantung kepada saya untuk mengenal pasti pendekatan terbaik bagi memastikan Umno tidak diharamkan jadi saya terpaksa mencari jalan.

“Kalau anda semua masih ingat, ketika Perhimpunan Agung Umno 2018, saya menyatakan bahawa dalam masa terdekat kita akan menjadi sebahagian daripada kerajaan tetapi saya diejek beberapa individu tertentu yang tiada dalam Umno,” katanya.

Zahid berkata, segala kisah itu akan diperincikan dalam sebuah buku selepas ini.

“Tadi saya cerita hanya 10%…90% dalam buku saya, lazimnya tulis buku ialah orang pencen tapi saya belum nak pencen lagi selagi Umno bukan parti dominan, selagi itu saya dan rakan-rakan terus dalam Umno.

“Mudah-mudahan ia jadi panduan kepada pemimpin-pemimpin Umno akan datang yang akan ambil alih tempat saya nanti,” katanya.

Mahathir meletak jawatan sebagai perdana menteri pada Februari 2020, sekali gus menyebabkan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan, dalam gerakan dikenali sebagai Langkah Sheraton.

Susulan itu kerajaan baharu ditubuhkan oleh Bersatu, Barisan Nasional dan sekumpulan ahli PKR diketuai Azmin Ali. Muhyiddin dilantik sebagai perdana menteri selepas itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.