
Bekas naib presiden MCA, Ti Lian Ker, berkata rasuah sudah menjadi cara hidup rakyat Malaysia, sama ada diakui atau tidak, dan ramai menggunakan rasuah untuk menyelesaikan masalah mereka, daripada pesalah trafik kepada korporat.
Beliau memberitahu FMT, pemberi dan penerima merangkumi rakyat Malaysia semua etnik serta kepercayaan, bahkan peniaga berlesen dan syarikat sah sedikit sebanyak terbabit rasuah untuk memastikan operasi berjalan lancar.
“Sedikit rasuah” yang dinyatakannya merujuk wang perlindungan dibayar kepada pegawai penguat kuasa dan kes sedemikian pernah dilaporkan.
“Mereka hanya menggunakan eufemisme berbeza, tetapi ia tetap rasuah,” kata Ti yang pernah menjadi timbalan menteri dari 2020 hingga 2022.
Komennya menyusul tindakan Timbalan Ketua Polis Negara, Ayob Khan Mydin Pitchay mengecam pihak tertentu mengaitkan amalan rasuah dengan isu perkauman.
Katanya, beberapa individu yang tidak dinamakannya mempersoalkan mengapa pihak berkuasa tidak menahan pemberi rasuah, yang didakwa kebanyakannya bukan Islam.
Pada 2022, Presiden PAS, Hadi Awang mengaitkan punca rasuah kepada orang bukan Islam, mencetuskan pelbagai laporan polis terhadapnya dan siasatan polis.
Ti berkata, menyalahkan kaum tertentu atas rasuah yang berleluasa tidak akan menyelesaikan masalah itu, yang menurutnya berpunca daripada autokrasi serta kekurangan ketelusan.
“Tarian tango memerlukan dua orang,” katanya sambil menambah menyalahkan minoriti “ialah cubaan politik untuk melaga-lagakan kumpulan berlainan, yang merupakan sebahagian strategi pecah dan perintah diguna pakai ahli politik”.