Orang Asli ‘bergadai nyawa’ kongsi jalan dengan lori

Orang Asli ‘bergadai nyawa’ kongsi jalan dengan lori

Penduduk beritahu jalan tanah merah itu laluan utama penduduk terutama guru dan murid ke sekolah.

Ibrahim Marijah
Ibrahim Marijah (baju corak dam) menunjukkan keadaan laluan utama Orang Asli di pedalaman Gua Musang.
GUA MUSANG:
Penduduk menyifatkan komuniti Orang Asli di pedalaman Gua Musang ‘bergadai nyawa’ kerana terpaksa berkongsi jalan dengan lori, sejak 40 tahun lalu.
Ibrahim Marijah
Ibrahim Marijah.

Penghulu Kampung Merlong, Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis, Ibrahim Marijah, 67, berkata setiap hari penduduk dari beberapa penempatan berselisih dengan kenderaan berat yang menggunakan ‘laluan utama’ mereka.

“Dari dulu sehingga kini kami sangat menderita apabila menggunakan jalan ini lebih-lebih lagi ketika berselisih dengan lori,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Bawek.

“Keadaan jalan yang sempit juga membuatkan kami berasa keselamatan menjadi terancam.”

Menurutnya, terdapat lebih 10,000 penduduk Orang Asli di pedalaman Gua Musang. Laluan tanah merah sepanjang 70km itu digunakan oleh Orang Asli dari Kuala Betis, Pos Gob, Pos Simpor, Pos Bihai, Pos Belatim, Pos Tohoi, Pos Balar, Pos Hau, dan Kuala Woh.

Seorang penduduk, Rozi Asod, 50, berkata permukaan jalan rosak disebabkan kenderaan membawa beban berat, seperti lori balak. “Jalan menjadi berlubang kecil dan besar, malah apabila tiba musim hujan laluan ini menjadi becak dan semakin teruk.”

“Inilah satu-satunya jalan perhubungan untuk kami gunakan bagi melakukan urusan harian dan mendapatkan bantuan sekiranya berlaku kecemasan,” katanya.

Asut Usu, 59, beritahu FMT jalan yang tidak berturap menyebabkan kenderaan penduduk mengalami kerosakan. “Kemalangan juga berlaku termasuk dengan lori balak cuma setakat ini belum ada yang meninggal.”

Beliau menambah di kawasan tertentu laluan itu hanya boleh dilepasi kenderaan pacuan empat roda ketika musim hujan.

Asut menggesa kerajaan negeri dan persekutuan, serta Jabatan Kemajuan Orang Asli pastikan jalan itu diselenggara dengan baik. “Laluan ini menjadi laluan utama termasuk guru dan murid ke sekolah, serta penduduk pedalaman ke bandar Gua Musang.”

Ibrahim Marijah
Sebuah lori dilihat menggunakan jalan yang menjadi laluan utama Orang Asli.

Rahim Mohd Nor, 19, mendedahkan beliau tidak dapat ke sekolah setiap kali musim hujan kerana percikan lumpur dari lori balak yang menggunakan laluan itu mengotorkan pakaiannya.

“Habis baju kami nak ke sekolah… bila baju kotor saya tak ke sekolah sebab terkena lumpur dari lori balak yang melalui jalan ini,” katanya kepada FMT.

Julat Busu mahu syarikat balak bertanggungjawab ke atas kerosakan jalan. “Mereka sudah dapat keuntungan jadi baiki jalan kita bagi elok.”

Katanya kepada FMT, beliau tidak dapat terima alasan jalan elok tidak dapat dibuat kerana cepat rosak, akibat digunakan oleh lori balak.

“Bila lori keluar ke bandar boleh pula jalan dibuat dengan elok. Jadi kalau syarikat tak mahu bertanggungjawab, elok lori balak guna laluan lain, jangan lalu penempatan kami,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.