
Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan, dipetik Sinar Harian berkata siasatan awal mendapati gadis itu bertindak demikian akibat fikiran terganggu.
Remaja itu ditahan di lobi Hospital Sultan Idris Shah, Serdang kerana disyaki menyamar pegawai perubatan dan menawarkan diri untuk membantu menjalankan pembedahan.
Dia kemudiannya direman dua hari bermula semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Sepang, Wan Kamarul Azran Wan Yusof, berkata remaja terbabit dibebaskan dengan jaminan polis hari ini dan kertas siasatan yang sedang dilengkapkan akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, gadis itu mengaku berbuat demikian sekadar suka-suka untuk mengetahui jika dia akan diberikan rawatan lebih cepat, jika menyamar petugas hospital.
“Siasatan mendapati dia melakukan perbuatan itu bukan kerana terpengaruh atau ingin meniru rancangan ditontonnya di televisyen,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Kes disiasat mengikut Seksyen 448 dan 170 Kanun Keseksaan, iaitu menceroboh serta menyamar penjawat awam.