Menteri gesa usahawan Sabah manfaatkan potensi besar industri halal

Menteri gesa usahawan Sabah manfaatkan potensi besar industri halal

Sabah miliki potensi besar dalam industri halal berdasarkan sumber bahan mentah dan barangan separa siap yang banyak.

Ewon Benedick
Hanya sekitar 350 syarikat atau usahawan di Sabah peroleh sijil halal mengikut maklumat MUIS Halal Hab, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Ewon Benedick.
KOTA KINABALU:
Usahawan Sabah disaran mendaftar bagi mendapatkan sijil halal untuk meneroka potensi besar industri halal di negeri itu, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Ewon Benedick.

Beliau berkata Sabah memiliki potensi yang besar dalam industri halal berdasarkan sumber bahan mentah dan barangan separa siap yang banyak, selain kedudukan strategik dan geografi luas.

Setakat ini hanya sekitar 350 syarikat atau usahawan di Sabah memperoleh sijil halal mengikut maklumat Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) Halal Hab, dan jumlah itu perlu ditingkatkan bagi membolehkan mereka menyertai pelbagai program keusahawanan halal yang disediakan kementerian.

“Saya sangat mengalu-alukan komitmen kerajaan Sabah khususnya melalui MUIS Halal Hab untuk meningkatkan jumlah ini dan kementerian akan membantu apabila mereka mengemukakan permohonan.

“Tidak ramai usahawan Sabah yang mengemukakan permohonan mendapatkan sijil halal kepada kementerian bagi mengikuti inisiatif mahupun program anjuran kementerian,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Kesedaran Halal Usahawan Madani Sabah.

Seramai 168 usahawan Sabah menyertai bengkel dua hari berakhir esok dalam memacu pembangunan industri halal secara bersasar; meningkatkan keupayaan usahawan dan koperasi dalam menghasilkan produk serta perkhidmatan halal berdaya saing; serta meningkatkan bilangan usahawan Sabah mendapat sijil halal.

Ewon berkata kerjasama erat dengan Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah serta MUIS Halal Hab diharap dapat memperkasa program pensijilan halal dalam kalangan usahawan bagi membantu pemilikan sijil dan membangunkan potensi produk sehingga peringkat antarabangsa.

Terdahulu, Ewon dalam ucapannya berkata Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) menyediakan pelbagai program pembangunan keusahawanan halal termasuk pensijilan halal, bantuan pembiayaan, dan geran untuk membantu para usahawan.

Ini termasuk bantuan pembiayaan sehingga RM10,000 bagi menampung kos pematuhan syarat-syarat pensijilan halal seperti kursus kesedaran dan pensijilan halal kepada pekerja-pekerja syarikat, kos khidmat rundingan, perkhidmatan analisis produk, dan fi pensijilan.

Kuskop juga menyediakan bantuan pembiayaan sehingga RM30,000 bagi menampung kos pembangunan jenama produk, penyediaan prototaip, dan menaik taraf reka bentuk pembungkusan dan pelabelan setiap produk usahawan melalui Program Pembangunan Kapasiti Produk Halal.

“Program Inovasi dan Teknologi Halal adalah untuk usahawan-usahawan yang telah memiliki pensijilan halal dan mahu meningkat keberhasilan produk serta perkhidmatan halal berteraskan inovasi dan teknologi.

“Program ini menyediakan geran pembiayaan bagi mengadaptasi inovasi dan teknologi halal dalam meningkatkan produktiviti produk halal meliputi aspek pemindahan teknologi, bantuan pembelian mesin, pendigitalan, dan pembangunan penyelidikan serta pengkomersialan produk,” katanya.

Kementerian turut menyediakan geran bantuan sehingga RM200,000 kepada usahawan perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) yang mematuhi kriteria ditetapkan, selain melaksanakan Program Pengantarabangsaan Usahawan Halal bagi membantu usahawan PMKS yang telah stabil dan sedia untuk mengeksport.

Ia bertujuan mengukuhkan jenama halal Malaysia di pasaran antarabangsa, menyediakan akses produk dan perkhidmatan halal dan membina jaringan perniagaan serta pemasaran produk dan perkhidmatan halal Malaysia di persada antarabangsa.

“Kuskop menyediakan bantuan melalui pembiayaan melibatkan penyertaan usahawan PMKS dalam ekspo dan pameran perdagangan antarabangsa serta pendaftaran produk di luar negara,” katanya.

Mengenai pensijilan halal, Ewon berkata ia jaminan kualiti kepada pengguna bahawa produk atau perkhidmatan yang disediakan oleh usahawan dan koperasi bersih serta selamat digunakan selain memenuhi keperluan dari segi syariat Islam.

“Dalam aspek perniagaan pula, usahawan boleh meluaskan rangkaian pasaran produk dan perkhidmatan bukan sahaja di Malaysia malah ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.