
Ikrar itu dibuat Timbalan Menteri Besar Mohamed Fadzli Hassan susulan pertemuan dengan ketua komuniti daripada 17 penempatan, di Kampung Langsat.
Katanya, kerajaan Kelantan akan ambil tanggungjawab kerana Orang Asli juga rakyat negeri itu.
“Saya terharu ini kali pertama kita masuk (bertemu JKOAK) dan diterima baik,” katanya kepada pemberita, selepas pertemuan yang disertai Setiausaha Agung Perikatan Nasional, Hamzah Zainudin.
“Saya sedih apabila mendengar rungutan pimpinan masyarakat Orang Asli terutamanya masih tertinggal dari sudut prasarana yang sepatutnya diambil berat oleh pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli dan kerajaan persekutuan,” tegas pemimpin nombor dua kerajaan negeri itu.
Beliau akui kerajaan Kelantan juga mempunyai tanggungjawab. “Kita tak nafi kerajaan Kelantan juga sepatutnya ada tanggungjawab memandangkan kita susah nak masuk, tapi apabila kita sudah boleh masuk, insya-Allah kita akan bantu.”
Fadzli berkata beliau ‘hairan’ masalah prasarana di Gua Musang yang sentiasa diwakili Barisan Nasional tidak dijaga.
“Kita tak janji nak selesai semua masalah tetapi kita janji untuk melihat permasalahan itu dan setakat mana kita mampu selesaikan,” katanya.
Timbalan menteri besar turut ditanya tentang isu pembalakan di Gua Musang.
“Sebenarnya soal penerokaan pembangunan hutan sekarang tak seperti dulu… sudah pun terjaga tak mendatangkan masalah besar sekarang,” katanya.
“Itu menunjukkan kerajaan Kelantan mengambil berat hal itu dan kita dapat selesaikan dari semasa ke semasa.”