
Babak pertama perlawanan berlangsung seimbang buat kedua-dua pasukan apabila dilihat saling berbalas serangan namun gagal diterjemahkan kepada sebarang gol.
Pada minit ke-44, skuad Red Giants hampir mendahului perlawanan apabila hantaran lintang Reziq Mohammed Saleh Banihani kepada Ronnie Allan Fernandez Saez dalam kotak penalti gagal dimanfaatkan, biarpun peluang terbuka luas untuk menewaskan penjaga gol Kelantan, Khatul Anuar Md Jalil.
SFC akhirnya memecah kebuntuan gol selepas kekalutan di dalam kawasan penalti KDN berjaya ditembusi Ronnie untuk melakukan jaringan pada minit ke-65.
Tidak lama kemudian, SFC menambah derita pasukan pelawat apabila Ronnie menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-85.
Kemasukan pemain sayap Mohamad Faisal Halim pada minit-minit terakhir, diiringi sorakan lebih 7,400 penonton, menyemarakkan semangat pemain Selangor yang terus mendominasi perlawanan sehingga wisel penamat ditiup.
Faisal kali pertama membuat kemunculan di khalayak ramai pada 16 Jun lepas pada perlawanan Piala FA di antara Selangor FC menentang Negeri Sembilan FC.
Pada 5 Mei lepas, Faisal mengalami kecederaan melecur tahap empat pada beberapa bahagian anggota badan selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya dan terpaksa dirawat di unit rawatan rapi selama kira-kira 10 hari.