Dulu perancang keluarga, LPPKN kini anjur program galak tambah zuriat

Dulu perancang keluarga, LPPKN kini anjur program galak tambah zuriat

Kajian LPPKN menunjukkan kadar kesuburan di Malaysia mencatatkan penurunan semakin ketara, dengan purata setiap pasangan hanya melahirkan 1.6 anak.

Nancy Shukri berkata, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara giat mengadakan program menggalakkan rakyat mendirikan rumah tangga dan menambah zuriat.
PETALING JAYA:
Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) pada asalnya berperanan menggalakkan perancang keluarga, kini terpaksa menjalankan program menggalak pasangan menambah zuriat.

Ini kerana, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri, kajian LPPKN menunjukkan kadar kesuburan di Malaysia mencatatkan penurunan semakin ketara, dengan purata setiap pasangan hanya melahirkan 1.6 anak.

Menurutnya, peningkatan kehamilan khasnya dalam kalangan remaja belum mampu menambah jumlah penduduk di Malaysia.

“Hasil kajian pada 2022 mendapati 33% wanita di Malaysia hamil tanpa dirancang, namun ia belum mencukupi untuk mencapai apa yang kita hasratkan, iaitu meningkatkan kadar kelahiran.

“Ini menyebabkan berlaku jurang terlalu besar dalam kadar kelahiran dengan peningkatan jumlah warga emas di negara kita sehingga kajian turut mendapati Malaysia akan menjadi negara tua menjelang 2030.”

Katanya menurut Harian Metro selepas Majlis Penutupan Program Kesihatan dan Kesedaran Kesihatan Seksual Universiti Malaysia Sarawak Sempena Karnival Hari Keluarga, Kesejahteraan dan Kesihatan Remaja di Petra Jaya, Kuching.

Nancy berkata, kementeriannya menerusi LPPKN giat mengadakan program menggalakkan rakyat mendirikan rumah tangga dan memiliki anak ramai.

“Usaha ini tidak dapat dihentikan kerana kita mahu meningkatkan kadar kelahiran baharu berikutan jumlah penduduk Malaysia ketika ini hanya hampir 34 juta orang.”

Menurutnya, penurunan kadar kelahiran antara lain disebabkan pasangan belum bersedia memiliki anak atas faktor ekonomi keluarga, gaya hidup serta menjarakkan anak.

Tetapi, katanya, wanita tidak patut dianggap punca penurunan kelahiran kerana kesuburan lelaki antara faktornya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.