Draf tatalaku platform media sosial dijangka selesai Disember

Draf tatalaku platform media sosial dijangka selesai Disember

Proses pelesenan platform berjalan selari dengan usaha membangunkan garis panduan tatalaku, kata menteri.

fahmi
Menteri Fahmi Fadzil berkata proses libat urus akan diadakan dengan pemegang taruh untuk bina draf garis panduan tatalaku.
KUALA LUMPUR:
Draf suatu garis panduan tatalaku untuk platform media sosial dijangka selesai pada Disember, menurut Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Jurucakap kerajaan itu menambah proses pelesenan platform media sosial, yang diumumkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada Julai lepas, akan berjalan selari usaha membangunkan garis panduan ini.

“Kita akan mulakan proses libat urus dengan semua pemegang taruh untuk bina satu draf garis panduan tatalaku untuk platform media sosial yang akan dilesenkan.

“Kita perlu teliti perkara itu dan itulah yang akan diuruskan terlebih dahulu,” katanya selepas majlis pelepasan konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2024 di Lembah Pantai.

SKMM mengumumkan semua perkhidmatan media sosial dan pesanan internet yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juga pengguna berdaftar perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi, berkuat kuasa 1 Jan tahun depan.

Pelesenan itu demi memerangi peningkatan kes jenayah siber termasuk penipuan dalam talian, buli siber, dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

Sebelum ini, platform terbabit dikecualikan daripada keperluan pelesenan.

Dalam pada itu, Fahmi percaya pelesenan akan memastikan platform media sosial serius menghalang kanak-kanak bawah usia 13 tahun memiliki akaun media sosial.

“Isu sekarang ialah platform media sosial hanya meletakkannya sebagai garis panduan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.