
Bekas felo Penang Institute, Wong Chin Huat berkata sebelum penubuhan George Town, bahagian timur laut pulau tersebut didiami oleh orang Melayu.
Katanya, semasa era penjajahan, populasi orang Cina dan India mula melebihi orang Melayu. Selepas kemerdekaan, harga rumah dan kos sara hidup yang semakin meningkat menyebabkan orang Melayu beransur-ansur berpindah dari pulau tersebut.
Penubuhan enklaf itu akan membantu menjadikan ia lebih mampu milik bagi komuniti Melayu untuk kembali ke pulau tersebut, kata Wong.
“Inisiatif seperti ini akan menarik mereka yang bekerja di pulau tetapi memilih untuk tinggal di tanah besar kerana sewa yang tinggi.
“Kos sara hidup, bagaimanapun tidak hanya terhad kepada perumahan sahaja, jadi mereka yang mungkin memanfaatkan peluang ini adalah daripada kategori pendapatan yang lebih tinggi,” katanya kepada FMT.
Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) dilapor mencadangkan agar tanah di kawasan Datuk Keramat-Jalan Perak-Jalan Pattani dibangunkan untuk membawa kira-kira 10,000 penduduk Melayu kembali ke George Town.
Pemenang juga dilapor merangka pelan lima tahun untuk membolehkan keluarga Melayu dari pelbagai latar belakang dan pekerjaan kembali ke pulau tersebut, selepas terpaksa berpindah ke tempat lain disebabkan harga hartanah yang tinggi di kawasan itu.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow meminta maklumat terperinci mengenai cadangan itu. Beliau berkata kerajaan negeri tidak menghalang mana-mana pihak daripada membangunkan tanah di Pulau Pinang untuk meningkatkan pemilikan hartanah dalam kalangan Bumiputera.
Wong berkata inisiatif seperti itu akan membantu meredakan kebimbangan dalam kalangan nasionalis Melayu tentang komposisi kaum di kawasan tersebut.
“Nasionalis Melayu berpendapat bahawa orang Melayu tidak seharusnya ‘hilang’ dari kawasan bandar.
“Kerajaan serta ahli politik Melayu sering dipersalahkan kerana tidak berbuat secukupnya bagi menghalang perkara itu,” katanya, sambil menambah peningkatan populasi Melayu di pulau tidak akan memberi kesan kepada corak pengundian di George Town.
Wong juga mencadangkan agar tanah yang dikenal pasti itu dirujuk sebagai ‘wakaf’ daripada sebagai enklaf (penempatan), kerana istilah enklaf membawa konotasi pengasingan dan persekitaran yang kurang mesra.
Sementara itu, Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jason H’ng, mengesahkan bahawa kawasan enklaf yang dicadangkan itu akan berada dalam zon yang ditetapkan untuk kegunaan kediaman dan komersial.
Katanya, kawasan yang dinyatakan Pemenang dalam Rancangan Struktur Pulau Pinang itu membenarkan pembangunan kediaman dan komersial. Pada masa ini, kawasan tersebut didiami oleh beberapa industri kecil.
“Jalan Patani kini kebanyakannya komersial, tetapi bangunan kediaman juga dibenarkan,” katanya.