
Salah seorang peneroka, Alias Mat, 66, dari Sungai Asap B, berkata tanah ladang RKT dimilikinya masih belum diberi geran biarpun dia telah menerokanya sejak 1983.

Menurutnya, dia telah membayar premium dan membayar hasil RM25 kepada Kesedar namun hanya diberi geran sementara yang diserahkan Tengku Razaleigh Hamzah.
“Tetapi ia hanya untuk permit mendapatkan pekerja bekerja di ladang getah dan sawit sahaja, bukan untuk jual beli kerana belum mendapat geran berstatus penuh milik persendirian,” katanya kepada FMT.
Sentimen sama turut disuarakan peserta Projek Agropolitan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), Zafri Seman, 52, bagi memudahkan pengurusan tanah.

“Jika boleh kami berharap pemberian geran dapat dipercepatkan oleh wakil rakyat baharu tanpa mengira mana-mana parti.
“Sebelum ini kami berdepan isu lain apabila tanah di kawasan rancangan diurus pihak swasta. Namun, difahamkan ia telah selesai dan kini diuruskan semula oleh Kesedar,” katanya.
Peneroka dari Kampung Batu Lima, Tong Bong Sing, 71, turut menyuarakan rasa kecewa apabila masih belum diberi hak milik kekal walaupun membayar premium tanah secara ansuran sebelum ini.

“Premium yang saya bayar telah mencecah lebih RM5,000 dan terbaharu, kami dimaklumkan perlu membayar kos tambahan pada kadar RM3,000 satu ekar.
“Tanah saya lima ekar, jadi perlu bayar RM15,000 untuk premium. Dengan umur begini, bagaimana saya ingin usahakan wang itu?,” katanya.
Minggu lalu, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dalam ceramah di Bertam Baru mendedahkan beribu lot tanah yang sepatutnya menjadi hak milik peneroka tetapi tidak diproses Kesedar.
Antara yang didedahkannya ialah sebanyak 602 permohonan telah diluluskan oleh kerajaan negeri di Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Kesedar Limau Kasturi dan 1,374 permohonan lagi di Sungai Terah tidak diproses Kesedar.
Bagaimanapun, Pengerusi Kesedar Zawawi Othman menafikannya dan menjelaskan pemberian lot tanah bukan di bawah bidang kuasa agensi itu tetapi Pejabat Tanah dan Galian serta kerajaan negeri.
Beliau turut menuntut Takiyuddin menarik balik kenyataannya sebelum hari mengundi PRK Nenggiri pada 17 Ogos ini atau berdepan tindakan undang-undang.