
Persatuan Penduduk Taman P Ramlee (TPRRA) telah mempertimbangkan tindakan undang-undang sejak April, selepas DBKL tiba-tiba meluluskan pembangunan sebuah kompleks kondominium yang terdiri daripada dua blok 48 tingkat dengan 816 unit.
Persatuan itu berkata, projek itu akan diteruskan walaupun terdapat surat daripada Pejabat Perdana Menteri kepada DBKL, dan janji DBKL untuk terus melibatkan penduduk, termasuk dengan berkongsi kajian penilaian impak trafik yang disemak semula.
TPRRA sebelum ini meminta agar kerajaan campur tangan untuk menghentikan projek itu kerana ia juga akan membawa kepada pencemaran bunyi dan udara, serta mewujudkan isu letak kenderaan.
Menurut persatuan itu juga, projek berkepadatan tinggi itu dibangunkan di kawasan kejiranan yang diluluskan hanya untuk rumah bertanah kepadatan rendah.
Pada Julai tahun lepas, persatuan itu meminta Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengkaji semula pembangunan yang dicadangkan itu, selain menggesa DBKL agar mengadakan libat urus dengan penduduk dan Ahli Parlimen Wangsa Maju Zahir Hassan.
Pada 19 Mac, persatuan itu sekali lagi merayu agar Putrajaya campur tangan, selepas tidak menerima sebarang maklum balas.
Bagaimanapun, 10 hari kemudian, persatuan itu menerima surat daripada DBKL memaklumkan pembangunan itu telah diluluskan dengan bersyarat, termasuk semakan nisbah plot kepada 1:6.50, daripada 1:7.20 sebelum ini.
DBKL juga berkata, pihaknya telah mengambil kira pandangan penduduk apabila membuat keputusan mengenai perkara itu.
Bagaimanapun, persatuan itu tidak yakin dengan justifikasi Dewan Bandaraya meluluskan projek itu, termasuk cadangan membina perhentian bas khusus di kawasan itu.
Penduduk juga hairan dengan rancangan melebarkan Jalan Ayer Panas, walaupun jalan itu tidak berada berdekatan pembangunan dan kawasan perumahan itu.
TPRRA juga mahu memastikan DBKL mematuhi Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur 2020 yang diwartakan apabila meluluskan pembangunan itu.
Presidennya, KK Tai berkata, mereka tiada pilihan selain merujuk perkara itu ke mahkamah.
“Komuniti kecil ini perlu kumpul dana untuk tanggung tindakan undang-undang terhadap perintah pembangunan DBKL, sedangkan DBKL guna wang pembayar cukai untuk menentang kami di mahkamah,” katanya.
Tai bagaimanapun optimis tentang prospek persatuan itu, walaupun menganggap mereka umpama pipit melawan garuda.
Katanya, kerjasama dengan beberapa persatuan penduduk lain, termasuk Persatuan Tindakan Penduduk Kuala Lumpur untuk Pembangunan Lestari dan Save Kuala Lumpur, akan memberi manfaat kepada kes mereka.
Suara kolektif penduduk, katanya, boleh mengubah ketiadaan akauntabiliti DBKL yang menjengkelkan penduduk.