Jangan politikkan isu peruntukan Sabah, PM tegur Kiandee

Jangan politikkan isu peruntukan Sabah, PM tegur Kiandee

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengingatkan pembangkang tidak perjuangkan MA63 semasa berkuasa.

anwar ronald
Perdana Menteri Anwar Ibrahim meminta pembangkang supaya bincang isu peruntukan secara elok.
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengingatkan pembangkang untuk tidak mempolitikkan isu peruntukan kepada Sabah.

Beliau berkata pembangkang dilihat cuba memainkan isu itu memandangkan PRN Sabah akan berlangsung.

Penggal dewan legislatif tamat pada Sept tahun depan.

“Jangan politikkan perkara itu. Kalau nak (peruntukan) lagi, bincang secara elok. Saya dah terangkan,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Penjaja Tanglin di Kuala Lumpur.

Pada 4 Ogos lalu, Anwar menepis dakwaan beliau telah menipu tentang peruntukan untuk Sabah.

Pada 31 Mei lepas, Anwar memaklumkan peruntukan untuk Sabah ditingkatkan kepada RM16 bilion tahun ini, daripada RM12.9 bilion pada 2002 dan RM13.9 bilion yang disalurkan kerajaan persekutuan tahun lepas.

Ia melebihi 40% daripada hasil persekutuan dan cukai yang diperoleh dari Sabah, tambahnya.

Menjelaskan pengumuman itu, Anwar pada 4 Ogos berkata RM16 bilion tersebut ialah peruntukan keseluruhan untuk Sabah bagi tahun ini, untuk perbelanjaan pelbagai perkara antaranya sekolah, pendidikan, keselamatan sempadan, dan pembangunan.

Namun pemimpin Bersatu, Ronald Kiandee, semalam dilapor berkata Anwar gagal mengambil kira bahawa Sabah berhak mendapat tambahan 40% daripada hasil persekutuan dan cukai yang diperolehi dari Sabah.

Kata Ahli Parlimen Beluran itu lagi, ini akan mencecah kira-kira RM4 bilion, berdasarkan pengumuman Anwar bahawa kerajaan persekutuan mengutip RM10.2 bilion cukai dan hasil daripada Sabah tahun lepas.

Anwar bagaimanapun mengingatkan pembangkang tidak memperjuangkan Perjanjian Malaysia 1963 semasa berkuasa.

“Sekarang kita (kerajaan perpaduan) bincang, laksanakan sebanyaknya… isu pendidikan, kesihatan, tambahan peruntukan, semua sekarang,” tegas Anwar.

“Saya nak tanya masa dia berkuasa dia buat apa?”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.