Hak jagaan adik Zayn Rayyan diberi kepada nenek saudara

Hak jagaan adik Zayn Rayyan diberi kepada nenek saudara

Mahkamah Majistret Shah Alam membuat keputusan itu selepas rundingan antara Jabatan Kebajikan Masyarakat dan peguam keluarga itu.

Zaim Ikhwan Zahari
Mahkamah Majistret Shah Alam mengeluarkan perintah hak jagaan sementara adik lelaki kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matin kepada nenek saudaranya hingga 4 Okt depan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini mengeluarkan perintah hak jagaan sementara adik lelaki kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matin kepada nenek saudaranya.

Keputusan itu dibuat Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman selepas proses perundingan selama sejam antara Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan peguam keluarga Nurul Ikrimah Mohd Raya.

Nurul Ikrimah berkata nenek saudara kanak-kanak itu diberikan hak jagaan selama dua bulan sehingga 4 Okt depan.

Namun katanya, bapa dan ibunya, Zaim Ikhwan Zahari, 29, dan Ismanira Abdul Manaf, 29, boleh bertemu anak mereka dengan beberapa syarat antaranya boleh meluangkan masa tidak lebih lapan jam, sekali dalam masa seminggu.

“Bagi proses terapi, pasangan suami isteri itu boleh menemani anak mereka sekali sebulan dan membuat panggilan video pada bila-bila masa, secara tanpa had.

“Sepanjang tempoh perjumpaan, pelindung kanak-kanak itu (ibu saudara Zaim) perlu berada bersama,” katanya menurut Sinar Harian.

Menurutnya, pasangan itu juga perlu membawa anaknya menjalani proses terapi khas sebulan sekali.

Pada 14 Jun lalu, kanak-kanak itu ditempatkan di institusi kebajikan selama dua bulan, selepas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendapat perintah jagaan sementara dari Mahkamah Majistret Shah Alam.

Ia susulan pendakwaan Zaim Ikhwan dan Ismanira di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas tuduhan mengabaikan Zayn Rayyan. Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak.

Zayn Rayyan dilaporkan hilang di Damansara Damai pada 5 Dis 2023, sebelum ditemui meninggal dunia keesokannya dekat anak sungai kira-kira 200m dari blok rumahnya.

Hasil bedah siasat menemui kesan kecederaan di leher dan badan mangsa akibat mempertahankan diri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.