
Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz.
“Tengku Zafrul mendapat maklumat terkini (mengenai Tesla) … mereka mengalami kerugian (disebabkan) tidak dapat bersaing dgn EV dari China.
“Jadi operasi mereka di Thailand besar, kita baru nak mula … itu penerangan langsung dari Tesla,” katanya.
Anwar berkata demikian kepada media selepas meluncurkan Garis Panduan Mengenai Pengurusan dan Tatakelola Badan Berkanun Persekutuan hari ini, lapor Berita Harian.
Tengku Zafrul semalam dilaporkan berkata, kementeriannya tidak pernah membuat pengumuman Tesla akan membuka kilangnya di Malaysia.
Katanya, berlaku perbincangan dengan Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla Inc dan SpaceX Elon Musk dalam usaha menarik pelaburan tetapi syarikat itu tidak pernah membuat komitmen untuk membuka kilang.
Terdahulu, portal dalam talian Thailand, The Nation memetik sumber melaporkan Tesla membatalkan rancangan membangunkan kilang di Malaysia, Thailand serta Indonesia.
Diminta mengulas tentang dakwaan itu, Tengku Zafrul berkata, perkara itu perlu dirujuk kepada Tesla sendiri.