Azizi dakwa peruntukan Nenggiri salur ke ‘penyelia’

Azizi dakwa peruntukan Nenggiri salur ke ‘penyelia’

Bekas Adun Nenggiri, Azizi Abu Naim, dakwa dakwa beliau dinafikan hak mengagihkan bantuan kepada penduduk.

Mohd Azizi Abu Naim
Azizi Abu Naim dakwa beliau terpaksa melalui beberapa ‘tapisan’ untuk memohon bantuan yang diperuntukkan bagi rakyat Nenggiri.
PETALING JAYA:
Bekas Adun Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim, mengakui DUN diwakilinya menerima peruntukan RM713,000 tahun ini, namun mendakwa ia tidak disalurkan kepadanya sebagai wakil rakyat.

Beliau yang terpaksa mengosongkan kerusi itu susulan keputusan speaker DUN Kelantan Jun lalu turut mendakwa bantuan diserah kepada ‘penyelia’ daripada PAS, sedangkan jawatan itu telah dimansuhkan.

Bercakap kepada FMT, Azizi berkata sejak menjadi wakil rakyat selepas PRN Ogos tahun lalu, beliau dinafikan hak mengagihkan bantuan kepada penduduk Nenggiri, mengambil contoh program bantuan beras memperuntukkan 300 pek setiap bulan bagi setiap DUN.

Dakwanya, pejabat beliau langsung tidak menerima satu kampit beras, sebaliknya dihantar ke pejabat PAS Nenggiri dan diagihkan seorang individu yang pernah menjadi penyelia DUN Nenggiri.

“Sepatutnya saya sebagai Adun kena tahulah berapa jumlah, siapa yang terima… tetapi saya tak tahu apa-apa, senarai penerima pun saya tak tahu. Apa fungsi saya sebagai Adun?” katanya.

Mengulas kenyataan Menteri Besar Kelantan Nassuruddin Daud bahawa jawatan penyelia DUN sudah tidak wujud selepas Bersatu menang di Nenggiri, Azizi mengakui perkara itu namun mendakwa ‘fungsinya’ tetap ada.

“Memang jawatan penyelia itu tak wujud tapi dia bagi (peruntukan) kepada seorang pemimpin PAS kawasan… fungsinya masih berjalan dan akaun masih ada.

“Tular juga di TikTok mengatakan saya terima cek untuk program di DUN saya, tetapi cek tu bukan kepada akaun saya tetapi kepada akaun penyelia DUN lama, jadi merekalah yang urus… satu sen pun saya tak diberi kuasa,” katanya.

Semalam, Nassuruddin berkata berkata Azizi diberi peruntukan lebih RM700,000 melalui pejabat daerah untuk membantu rakyat di kawasannya tahun ini namun hanya menggunakan 10% atau RM72,000.

Mengulas perkara itu, Azizi mendakwa kerajaan negeri mengaburi rakyat apabila mengatakan sejumlah besar telah diperuntukkan sedangkan dia terpaksa melalui beberapa tapisan untuk memohon.

“Untuk tuntut bantuan pun saya perlu menghadap beberapa exco, hantar permohonan macam-macam, saya dah ‘submit’ dalam RM72,000 tetapi setakat ni baru dapat RM60,000 lebih.

“Bila kita mohon, cek akan sampai ke pejabat penyelia PAS, tak bagi kat kita,” katanya.

Azizi, antara enam Ahli Parlimen mengalihkan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang menyebabkan keahliannya sebagai ahli Bersatu terlucut.

Beliau kekal sebagai Ahli Parlimen Gua Musang susulan keputusan Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.