
Ketua Polis Kuala Langat, Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita tempatan pada 8.45 pagi hari kejadian mendakwa dua adik lelakinya diculik.
Menurutnya, wanita berusia 29 tahun itu memaklumkan mereka didatangi beberapa lelaki tidak dikenali di rumah dengan menaiki kereta dan bersenjatakan batang besi, kira-kira 7 pagi.
Katanya, suspek memanggil adiknya dan kedua-duanya dibawa keluar namun salah seorangnya kembali semula beberapa minit kemudian.
“Bagaimanapun, polis berjaya menyelamatkan mangsa di Bandar Bukit Raja, Klang, Selangor pada 2.30 pagi tadi dan memberkas tiga lelaki tempatan dan dua lelaki warga asing.
“Dua lelaki tempatan berusia 22 hingga 31 tahun itu didapati mempunyai enam rekod jenayah dan dua rekod jenayah lampau.
“Seorang lagi suspek lelaki tempatan berusia 21 tahun dan dua lelaki warga asing berusia 35 dan 37 tahun tidak mempunyai sebarang rekod lampau,” katanya dalam satu kenyataan, menurut Sinar Harian.
Beliau berkata polis turut merampas sebuah kenderaan yang dilaporkan dicuri di kawasan Klang dan beberapa peralatan pecah rumah serta pelbagai barangan hasil kegiatan pecah rumah dan curi.
Katanya, motif kejadian culik itu disebabkan mangsa tidak mahu membayar ganti rugi kenderaan suspek yang dipinjamnya.
“Penahanan suspek berjaya menyelesaikan kes melarikan orang dan sekurang-kurangnya lima kes pecah rumah di sekitar daerah Kuala Langat serta satu kes curi kenderaan di Klang.
“Semua suspek akan dibawa ke mahkamah esok bagi permohonan reman dan kes disiasat di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan, Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.