Tiada apa boleh henti PRK Nenggiri, mahkamah diberitahu

Tiada apa boleh henti PRK Nenggiri, mahkamah diberitahu

Peguam kanan persekutuan berkata kertas undi pos sudah dikeluarkan kepada individu yang akan bertugas pada hari pengundian.

Mohd Azizi Abu Naim
Bekas Adun Nenggiri, Azizi Abu Naim, memohon injunksi bagi menghentikan PRK Nenggiri.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi diberitahu bahawa tiada apa yang boleh dilakukan oleh bekas Adun Nenggiri, Azizi Abu Naim, untuk menghentikan PRK yang akan berlangsung pada 17 Ogos.

Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly yang mewakili Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhujah pilihan raya itu secara rasmi bermula selepas penamaan ditutup pada Sabtu lepas.

Beliau menambah 43 kertas undi pos sudah dikeluarkan kepada individu yang akan bertugas pada hari pengundian.

Hanir berkata itulah alasannya mahkamah tidak patut mengenakan injunksi ke atas SPR daripada menjalankan tugasnya.

Azizi memohon injunksi bagi menghalang pilihan raya itu. Permohonan itu sebahagian daripada saman yang beliau failkan pada Jun, untuk mencabar pemberhentian keahliannya oleh Bersatu, serta kekosongan kerusi DUN Nenggiri.

Keahlian Azizi dikatakan tertenti selepas beliau gagal mengisytiharkan kesetiaan kepada parti, dan sokongan berterusan kepada pentadbiran Anwar Ibrahim.

Azizi, yang juga Ahli Parlimen Gua Musang, antara enam Ahli Parlimen daripada Bersatu yang mengisytiharkan sokongan kepada Anwar, tahun lepas.

Beliau mahu mahkamah membatalkan pindaan pada fasal 10 perlembagaan Bersatu berkait pemberhentian keahlian, dan mengisytiharkan notis DUN Kelantan yang menasihatkan SPR berkenaan kekosongan kerusi Nenggiri tidak sah dan terbatal.

Terdahulu, usaha interim oleh Azizi untuk menghentikan PRK Nenggiri ditolak mahkamah. SPR kemudian mengumumkan 17 Ogos sebagai hari pengundian.

Dalam pada itu, Awang Armadajaya Awang Mahmud selaku peguam yang mewakili speaker DUN Kelantan berhujah permohonan injunksi Azizi itu patut ditolak kerana ia sudah sia-sia.

Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain menetapkan 12 Ogos untuk membuat keputusan berhubung permohonan injunksi Azizi ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.