
Tertuduh membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39 (5) akta yang sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Sabrina Zubairi manakala tertuduh diwakili peguam Nabilla Rosli.
Pada prosiding secara tertutup itu, bapa tertuduh yang berusia 53 tahun turut didakwa kerana membenarkan anaknya memandu kereta di jalan raya.
Pertuduhan ke atas bapanya dibuat Seksyen 39(5) Akta Pengangkutan Jalan yang jika disabitkan kesalahan boleh didenda maksiumum RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.
Muhammad Bukhori menetapkan ikat jamin RM500 untuk remaja terbabit manakala RM2,000 bagi bapanya, dengan 4 Sept sebagai tarikh sebutan semula.
Terdahulu, bapanya yang juga warga Pakistan didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang atas pertuduhan cuai dan gagal mengawasi anak lelakinya memandu kereta yang boleh mendatangkan kecederaan fizikal.
Bulan lalu, tular rakaman video berdurasi satu minit 49 saat memaparkan seorang wanita menahan kereta jenis Perodua Viva yang dipandu seorang remaja lelaki dan turut dinaiki dua kanak-kanak.
Menerusi rakaman itu, kereta terbabit dipandu agak laju ketika melalui bonggol di depan sebuah rumah sebelum diarah oleh wanita berkenaan supaya memberhentikan kenderaan.
Wanita berkenaan, yang mendakwa remaja terbabit sudah beberapa kali dilihat memandu kereta di kawasan itu, berkata beliau akan membuat laporan polis berhubung kejadian terbabit.