MIC terbuka terima semula bekas ahli

MIC terbuka terima semula bekas ahli

Presiden SA Vigneswaran berkata Jawatankuasa Kerja Pusat MIC sedang pertimbang rayuan beberapa bekas ahli.

Mesyuarat CWC MIC hari ini bincang usaha yang perlu dilakukan bagi menawan lebih banyak kerusi pada PRU16.
KUALA LUMPUR:
MIC terbuka untuk menerima bekas ahli yang ingin kembali, kata Presiden SA Vigneswaran.

Beliau berkata perkara berkenaan diputuskan pada mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC hari ini.

Vigneswaran berkata CWC sedang mempertimbangkan rayuan beberapa bekas ahli.

“Seorang daripada mereka yang kita terima balik sebagai ahli ialah Awtar Singh (bekas ketua MIC Puchong) yang membuat rayuan pada hari ini dan CWC memberi ruang kepada beliau untuk menghadiri sendiri mesyuarat majlis tertinggi dan rayuan beliau dipertimbangkan.

“Ini keputusan ahli majlis tertinggi dan kami (presiden dan timbalan presiden) akur dengan keputusan tersebut,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat pertama CWC penggal 2024-2027 di ibu pejabat MIC.

Mesyuarat juga membincangkan hala tuju parti serta usaha yang perlu dilakukan bagi menawan lebih banyak kerusi pada PRU16.

Selain itu, Vigneswaran berkata persidangan Pemuda, Wanita, Putera, dan Puteri MIC akan diadakan pada 1 Sept ini manakala mesyuarat agung akan diadakan pada 15 Sept di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam.

Sementara itu, MIC turut mengenal pasti seramai 5,144 pengundi India yang akan mengundi pada PRK DUN Mahkota, Johor.

Oleh itu, Vigneswaran berkata jentera parti akan turun padang untuk membantu memperoleh undi kepada calon kerajaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.