Awie berpijak di bumi nyata, tak terlalu yakin BN menang Nenggiri

Awie berpijak di bumi nyata, tak terlalu yakin BN menang Nenggiri

Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata beliau tidak boleh terlalu yakin kerana BN menyertai PRK sebagai parti kalah lebih 800 undi pada PRN lalu.

Azmawi Fikri
Calon BN PRK Nenggiri Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata beliau perlu melipatgandakan kerja supaya pengundi memilihnya sebagai wakil rakyat. (Gambar Bernama)
GUA MUSANG:
Masuk hari kelima berkempen, calon Barisan Nasional (BN) PRK Nenggiri Azmawi Fikri Abdul Ghani tidak meletakkan dirinya dalam keadaan selesa untuk memenangi kerusi itu pada 17 Ogos ini.

Azmawi berkata, walaupun dikatakan dikenali penduduk Nenggiri, beliau tidak boleh terlalu yakin kerana BN menyertai PRK sebagai parti yang kalah lebih 800 undi kepada calon Perikatan Nasional (PN) pada PRN lalu.

“Pada PRN lepas, (BN) kalah dengan lebih 800 undi, (jadi) saya perlu berpijak di bumi yang nyata,” katanya ketika berkempen di Jeram Tekoh.

“Saya perlu lipat-gandakan lagi kerja dalam memastikan pengundi Nenggiri memilih saya sebagai wakil rakyat.”

Sejak diumumkan sebagai calon pada 18 Julai lalu, beliau sudah mengunjungi seluruh pelosok Nenggiri dan kini akan memasuki pusingan kedua menyantuni pengundi.

“Kerja saya berjumpa dengan seramai mungkin pengundi,” katanya yang mesra disapa sebagai Awie.

Azmawi bagaimanapun yakin akan mendapat sokongan pengundi muda memandangkan beliau sudah lama aktif di Nenggiri, termasuk menerusi media sosial.

“Saya sebenarnya sudah aktif dalam media sosial sejak 2018 lagi, kebanyakan anak muda di sini tahu kerja saya,” katanya.

“Disebabkan di sini 61% pengundi muda, (pendedahan menerusi media sosial) cukup membantu dalam gerak kerja bagi memastikan saya peroleh undi anak muda.”

PRK Nenggiri menyaksikan persaingan satu lawan satu antara Azmawi dan calon Perikatan Nasional Rizwadi Ismail.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.