Anwar cadang tubuh Zon Ekonomi Khas Malaysia-Thailand

Anwar cadang tubuh Zon Ekonomi Khas Malaysia-Thailand

Perdana menteri menyarankan pembabitan sektor swasta dan syarikat pemula untuk menarik lebih banyak pelaburan ke Zon Ekonomi Khas Malaysia-Thailand.

Anwar Ibrahim-Maris Sangiampongsa
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Menteri Luar Thailand, Maris Sangiampongsa di Putrajaya semalam. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mencadangkan penubuhan Zon Ekonomi Khas (SEZ) Malaysia-Thailand membabitkan sektor swasta dan syarikat pemula.

Menurutnya, cadangan itu dikemukakannya ketika kunjungan hormat Menteri Luar Thailand, Maris Sangiampongsa semalam.

“Selain sektor getah dan makanan, Maris turut dicadangkan penubuhan SEZ, termasuk pembabitan sektor swasta dan syarikat pemula.

“Sayugia, pembabitan mereka boleh menarik lebih banyak pelaburan ke SEZ, malah saya mencadangkan supaya Kelantan mengambil peluang membina ruang perniagaan di sepanjang Sungai Golok,” katanya dalam catatan Facebook.

Beliau berkata, mereka turut membincangkan hasil lawatan kerjanya dengan Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisn ke Sungai Golok dan Rantau Panjang minggu lalu, termasuk pengorekan muara Sungai Golok bagi mengatasi masalah banjir hampir setiap tahun.

Anwar dan Srettha ke Rantau Panjang dan Sungai Golok Sabtu lalu bagi menilai kemajuan projek menaik taraf jambatan menghubungkan Rantau Panjang-Sungai Golok, antara inisiatif utama kesalinghubungan sempadan dua negara.

Anwar berkata, beliau turut menyuarakan komitmen Putrajaya terhadap Proses Dialog Keamanan Selatan Thailand.

“Kedua-dua negara juga bersetuju untuk Malaysia menjadi tuan rumah Perundingan Tahunan Ke-7 pada 19 Sept,” katanya yang berharap hubungan kedua-dua negara akan terus utuh dan kekal harmoni.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.