Persatuan ungka mungkin diberi permit bersyarat

Persatuan ungka mungkin diberi permit bersyarat

Perhilitan berkata, persatuan itu boleh memohon permit baharu jika ungka di bawah pemuliharaan belum bersedia dilepaskan ke hutan.

Persatuan Pemuliharaan Ungka berkata, lima hingga 15 tahun diperlukan untuk memastikan seekor ungka boleh dilepaskan ke hutan.
PETALING JAYA:
Persatuan Pemuliharaan Ungka (GCS) mungkin diberikan pembaharuan permit bersyarat bagi kerja pemuliharaan ungka apabila ia tamat dalam tempoh lima tahun.

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berkata, ia akan menilai kejayaan program pemuliharaan GCS selepas tempoh lima tahun tamat.

Katanya, jika penilaian mendapati hidupan liar itu masih tidak sesuai dilepaskan ke habitat semula jadinya, pemohon boleh memohon semula permit berkenaan. Permohonan itu tertakluk kepada kelulusan menteri sumber asli dan kelestarian alam.

Baru-baru ini, GSC dilaporkan berkata, tempoh lima tahun yang diberikan Perhilitan tidak mencukupi kerana Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi berpendapat pemuliharaan ungka memerlukan lebih banyak masa berbanding spesies lain.

Pengasas dan Presiden GCS, Mariani Ramli sebelum ini memberitahu FMT, ia boleh mengambil masa antara lima hingga 15 tahun bagi seekor ungka dipulihkan dan dilepaskan ke hutan, serta memerlukan 12 hingga 24 bulan lagi untuk memantau ungka selepas dilepaskan.

Tetapi, Perhilitan berkata, tempoh lima tahun memadai dan prosedurnya memerlukan pemantauan dalam empat bulan pertama selepas dilepaskan.

Perhilitan berkata, GCS masih boleh mengemukakan rayuan bagi syarat permit semasa. Namun, permit bersyarat bersifat sementara kerana permit berbeza diperlukan untuk mengendalikan kemudahan pemulihan di bawah undang-undang baharu mengenai pemuliharaan hidupan liar.

Ketika ini, kementerian dan Perhilitan memberi kelonggaran kepada GCS untuk memulihara hidupan liar itu sehingga undang-undang baharu dikuatkuasakan, kata jabatan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.